AM

KPDN PAHANG KELUAR 16 NOTIS MENERUSI OPS KESAN 2.0

16/06/2024 11:52 AM

KUANTAN, 16 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang mengeluarkan 16 notis kepada syarikat perniagaan yang berdaftar dengan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) sepanjang pelaksanaan Ops Kesan 2.0 yang bermula pada 10 Jun lepas.

Pengarah berkenaan Jezlily Jamaluddin berkata Notis Pengesahan Maklumat Barangan dan Perkhidmatan (NPMB) dikeluarkan hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 56 syarikat perniagaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

”Dalam tempoh pelaksanaan Ops Kesan 2.0 ini, KPDN Pahang telah menerima sebanyak empat aduan berkaitan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Kesemua aduan telah disiasat di mana pihak syarikat atau perniagaan telah diberikan notis untuk mengemukakan maklumat lanjut berkaitan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, KPDN Pahang juga telah menggerakkan 166 Pegawai Penguat Kuasa dan 75 Pegawai Pemantau Harga untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bekalan dan harga barangan keperluan pengguna di seluruh negeri ini menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha, menurut Jezlily.

Beliau berkata sebanyak 3,448 premis telah diperiksa sepanjang Jun meliputi pemborong, peruncit, pasar basah, pasar tani dan pasar raya yang menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan bekalan makanan. 

“Dari pemeriksaan tersebut, sebanyak 33 kes telah dihasilkan di bawah akta yang dikuatkuasakan KPDN. Pihak KPDN Pahang mengalu-alukan pengguna untuk bersama-sama membantu menjadi mata dan telinga kementerian dan melaporkan sebarang kesalahan dan aktiviti mencurigakan peniaga melalui pelbagai medium penyaluran aduan yang disediakan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan