SUKAN

Sukan Sea: Pengganti Justin Harus Bersedia Pikul Tanggungjawab

12/04/2023 05:38 PM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Pemain yang dipilih bagi menggantikan pemain perseorangan lelaki meningkat naik Justin Hoh dalam skuad Sukan SEA 2023 harus bersedia dari segi mental untuk memikul tanggungjawab berkenaan.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Wong Choong Hann berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan barisan kejurulatihan terlebih dahulu sebelum memilih pemain yang akan mengambil tempat Justin, yang kini mengalami kecederaan achilles tendon.

“Kita dalam proses mengenal pasti pemain (dan) akan umum keputusan dalam satu atau dua hari (lagi). Biar kita buat analisis yang cukup dan perbincangan yang terperinci dengan para jurulatih selepas menilai persembahan dalam latihan dan keputusan terdekat ini, baru kita cadangkan siapa.

“Pemain yang dipilih perlulah bersedia untuk ambil cabaran ini. Sasaran bukan hanya daripada jurulatih tetapi juga kedua-dua belah pihak. Pemain juga harus faham (tanggungjawab) apabila peluang tiba,” katanya pada sidang media di ABM, di sini hari ini.

Justin, 19, terpaksa diketepikan daripada skuad Sukan SEA kerana perlu menjalani pembedahan akibat kecederaan achilles tendon ketika latihan pada dua hari lepas.

Sukan SEA 2023 dijadual bermula 5 hingga 17 Mei ini di Phnom Penh, Kemboja.

Bulan lepas, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan Justin bersama Leong Jun Hao dan Ong Ken Yen dipilih untuk membawa cabaran negara ke temasya dwitahunan itu.

Sementara itu, Pengarah Prestasi Tinggi ABM Dr Tim Jones berkata Justin yang menjalani pembedahan pada hari ini dijangka mengambil tempoh enam hingga sembilan bulan untuk proses pemulihan.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya memilih untuk mengadakan pembedahan di Malaysia berbanding luar negara kerana tidak mahu mengambil risiko yang boleh memudaratkan lagi kecederaan itu.

“Kami mahu pastikan pakar bedah terbaik yang melakukannya, kerana perkara ini perlu disegerakan. Kami ada kenalan di United Kingdom dan negara lain, tetapi kami tetap dengan Malaysia kerana pakar bedah di sini sangat berpengalaman, kita ada laporan yang baik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan