JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN LELAKI TABUR PAKU DI JALAN RAYA

01/04/2023 09:49 PM

IPOH, 1 April (Bernama) -- Polis menahan seorang pemandu kereta kerana dipercayai terbabit dalam insiden menabur paku di atas jalan di persimpangan lampu isyarat  Jalan Ipoh-Lumut, Pusing, dekat Batu Gajah, seperti yang tular di sosial media sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata suspek lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di sekitar Changkat Larang, Lahat, pada sekitar jam 3 pagi tadi.

"Suspek mempunyai satu rekod jenayah berkaitan dadah serta ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

"Suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. Bagaimanapun, motif insiden tersebut masih dalam siasatan, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu,polis memaklumkan sedang mengesan pemilik kereta jenis Nissan Almera bagi membantu siasatan berhubung insiden tersebut susulan menerima satu laporan daripada pengguna jalan raya yang memaklumkan tayar keretanya bocor selepas melalui jalan berkenaan.

Sejak semalam tular di sosial media satu rakaman video berdurasi 24 saat yang dirakam oleh pemandu kenderaan lain, memaparkan pemandu kereta itu menabur paku di persimpangan jalan raya dari tingkap kenderaan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan