DUNIA > BERITA

Konflik Iran-Israel: Indonesia Tingkat Tahap Amaran Tertinggi Di Kedutaan Tehran

19/06/2025 07:30 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 19 Jun (Bernama) -- Indonesia telah meningkatkan tahap amaran di kedutaannya di Tehran ke tahap tertinggi iaitu daripada Tahap Dua kepada Tahap Satu dan sedang menyediakan rancangan kontingensi bagi memindahkan rakyatnya susulan serangan Israel ke atas Iran yang semakin memuncak, kata Menteri Luar Sugiono pada Khamis.

Beliau berkata kira-kira 380 warga Indonesia yang kini berada di Tehran dan bandar-bandar lain berdepan ancaman yang semakin meningkat berikutan situasi keselamatan yang semakin meruncing apabila Israel meningkatkan serangan ke atas sasaran ketenteraan dan kawasan awam.

“Dua hari lalu, saya telah mengarahkan Kementerian Luar dan Kedutaan Indonesia di Tehran untuk menilai rancangan serta kemungkinan senario bagi pemindahan rakyat Indonesia,” katanya dalam kenyataan video yang dikeluarkan oleh kementerian itu dari St Petersburg, Rusia.

Sugiono berkata langkah-langkah kontingensi dan pemindahan sedang dilaksanakan, sementara Jakarta telah membuka saluran komunikasi dengan negara jiran bagi memastikan laluan selamat sekiranya pemindahan perlu dilaksanakan.

Sugiono berada di Rusia sempena lawatan Presiden Prabowo Subianto pada 19 hingga 20 Jun untuk bertemu rakan sejawatnya Vladimir Putin dan menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa St Petersburg (SPIEF).

Beliau juga dijadual menghadiri mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul pada 21 hingga 22 Jun yang akan membincangkan konflik berterusan di Gaza serta serangan Israel ke atas Iran baru-baru ini.

“Beliau akan membentangkan pandangan Indonesia mengenai isu-isu utama global dan dunia Islam, termasuk konflik Israel-Iran, kebimbangan kemanusiaan di Gaza serta keperluan kerjasama ekonomi yang lebih kukuh dalam kalangan negara anggota,” menurut kenyataan kementerian itu.

Indonesia sebagai antara negara pengasas OIC sejak 1969, turut menegaskan komitmennya terhadap keamanan dan kestabilan, khususnya dalam menyokong kemerdekaan Palestin.

Mesyuarat itu dijangka berakhir dengan penerimaan beberapa resolusi serta Deklarasi Istanbul yang menggariskan tindak balas kolektif terhadap cabaran semasa, tambah kementerian itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan