AM

FELCRA LANCAR BERAS HARGA RM13 SEKAMPIT BAGI 5KG

01/04/2023 08:42 PM

BAGAN DATUK, 1 April (Bernama) -- FELCRA Berhad (FELCRA) hari ini melancarkan beras berkualiti lima peratus hancur dengan harga RM13 bagi lima kilogram.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyempurnakan majlis pelancaran itu berkata beras yang dijual RM10 pada harga promosi itu, 100 peratus dikeluarkan di estet padi negeri Perak. 

“Pertama kali dalam sejarah FELCRA melancarkan beras ini, pada harga promosi ia dijual pada harga RM10, RM13 pada harga pasaran dan RM12.10 pada harga borong,” katanya pada Majlis Iftar dan Pelancaran Beras FELCRA Super Special Tempatan di Masjid Tuminah Hamidi di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi FELCRA Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Terdahulu dilaporkan FELCRA akan mengeluarkan ayam daging, beras dan minyak masak, bermula tahun ini.

Bagi pengeluaran beras, sawah diusahakan FELCRA mampu mengeluarkan sehingga 40,000 tan padi setahun untuk diproses menjadi beras dalam bungkusan lima kilogram.

Sebanyak 3.6 juta bungkusan beras lima kilogram disasar dapat dihasilkan setahun, dengan 500,000 komuniti FELCRA akan mendapat manfaat subsidi sebanyak 15 peratus, daripada harga jualan runcit.

Ketika ini, FELCRA mengusahakan tanaman padi di kawasan seluas 3,263 hektar di FELCRA Seberang Perak di Perak membabitkan 1,500 peserta.

Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut melancarkan Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan Yayasan Restu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan