EKONOMI

BURSA SECURITIES NYAHSENARAI SCOMI, TOLAK PERMOHONAN LANJUT PELAN REGULARISASI

28/03/2023 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) telah memutuskan untuk menyahsenarai sekuriti Scomi Group Bhd (SGB) daripada senarai rasmi Bursa Securities mengikut perenggan 8.04 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, SGB berkata Bursa Securities menerusi surat bertarikh 28 Mac, 2023, telah menolak rayuan syarikat bagi mendapatkan lanjutan enam bulan lagi daripada keputusan Bursa Securities bagi mengemukakan pelan regularisasi kepada pihak berkuasa berkaitan untuk diluluskan.

“Bursa Securities telah memutuskan menolak permohonan SGB untuk mengubah terma dan syarat bagi syarikat melunaskan dan membayar sejumlah RM8 juta kepada Maybank sebelum 15 Mac, 2023,” katanya.

Syarikat itu berkata penolakan tersebut adalah sepertimana dalam surat Bursa Securities bertarikh 13 Feb, 2023, dan sama ada Maybank bersedia mempertimbang semakan tawaran SGB bagi penyelesaian tunai atau menyemak semula tempoh ditetapkan dalam syarat membayar mengikut tempoh keputusan semakan semula tawaran Maybank.

“Berikutan keadaan itu, sekuriti syarikat akan dikeluarkan daripada senarai rasmi Bursa Securities pada 31 Mac, 2023,” katanya.

Menurut SGB, sekuriti syarikat itu sebaliknya akan kekal sebagai deposit dalam Bursa Depository Sdn Bhd, biarpun dengan penyahsenaraian sekuriti terbabit.

“Ia bukanlah wajib bagi sekuriti sebuah syarikat yang dinyahsenarai itu untuk dikeluarkan daripada Bursa Depository.

“Sebaliknya, sebagai alternatif, pemegang saham yang mahu memegang sekuriti mereka dalam bentuk sijil fizikal boleh mengeluarkannya daripada akaun Sistem Depositori Pusat mereka yang dikekalkan dengan Bursa Depository pada bila-bila masa selepas penyahsenaraian sekuriti syarikat," katanya.

SGB berkata syarikat itu akan terus wujud sebagai entiti tidak tersenarai apabila dinyahsenarai selain dapat meneruskan operasi serta perniagaan mengikut penstrukturan semula korporatnya.

“Pemegang saham masih boleh mendapat ganjaran daripada prestasi syarikat. Namun, saham yang dipegang itu tidak lagi disebut atau diniagakan di Bursa Securities,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan