AM

Sultan Terengganu mahu masjid perbanyak aktiviti tadarus al-Quran

23/03/2023 09:12 PM

KUALA TERENGGANU, 23 Mac (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan supaya semua masjid di negeri ini memperbanyakkan aktiviti tadarus al-Quran secara beramai-ramai, sepanjang bulan Ramadan.

Baginda bertitah, ia bagi mengangkat kemuliaan bulan yang penuh keberkatan dan kenikmatan.

Titah baginda, aktiviti bertadarus beramai-ramai bukan sahaja mampu memberi semangat dan motivasi kepada umat Islam, malah mengeratkan silaturrahim sesama mereka.

“Ramadan juga dikenali sebagai bulan al-Quran, kerana pada permulaannya diturunkan mukjizat teragung umat Islam.

“Ia mengandungi pelbagai fadilat terhebat jika membacanya, apatah lagi ‘mentadabbur’ (menghayati dan merenung) kitab suci tersebut pada bulan Ramadan,” titah baginda dalam perutusan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) hari ini.

Selain itu Sultan Mizan turut menyeru kepada semua rakyat supaya membayar zakat kepada MAIDAM dan memperbanyakkan sedekah pada bulan ini.

Baginda bertitah pemberian zakat dan sedekah dapat melatih jiwa, supaya lebih prihatin dengan nasib saudara seagama yang mengalami kesusahan hidup.

“Beta menyeru semua rakyat supaya menunaikan zakat kepada MAIDAM melalui amil yang dilantik.

“Mudah-mudahan zakat yang kita keluarkan dapat disalurkan sebaik mungkin kepada asnaf yang berhak. Ia juga dapat memberikan sinar buat mereka dalam mempersiapkan diri menyambut Ramadan," titah baginda.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan