AM

IjDAZ 2025 Platform Strategik Perkukuh Ekosistem Zakat Negara

10/07/2025 09:29 AM

BANGI, 10 Julai (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) serta Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) terus memacu agenda pemerkasaan zakat negara menerusi penganjuran buat pertama kali Ijtimak Duat dan Asatizah Zakat (IjDAZ) 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata penganjuran IjDAZ 2025 mencerminkan komitmen jangka panjang agensi zakat negeri dan JAWHAR dalam memperkasa sistem zakat negara.

“Program ini adalah satu usaha berskala besar yang membawa nilai strategik dalam memperkukuh ekosistem zakat negara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian IjDAZ 2025 di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah JAWHAR Datuk Selamat Paigo.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Khaidzir Shahari, Mufti Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah LZS Datuk Dr Anhar Opir dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Datuk Abdul Hakim Amir Osman. 

Mohd Na'im berkata IjDAZ perlu dimanfaatkan sebagai medan utama perkongsian ilmu dan amalan terbaik, khususnya dalam aspek fatwa, dakwah serta pendekatan kutipan dan agihan zakat yang lebih tersusun dan berimpak.

Beliau berkata setiap agensi zakat negeri mempunyai kelebihan tersendiri seperti kutipan, agihan, fatwa dan tadbir urus yang perlu dikongsi untuk memperkukuh institusi zakat secara kolektif.

“Semua ini bukan untuk dibanding-bandingkan tetapi dikongsikan agar mengangkat martabat zakat secara nasional. Janganlah kemajuan negeri lain dilihat sebagai ancaman malah jadikan ia peluang untuk saling belajar dan memperkukuh,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khaidzir berkata keperluan mewujudkan platform khusus yang menghimpunkan para amil zakat dalam bidang syariah dan dakwah telah lama difikirkan berikutan seminar zakat yang dianjurkan oleh beberapa pihak sebelum ini kurang memberi tumpuan kepada golongan amilin kerana terlalu bersifat akademik dan teori.

Beliau berkata pendekatan IjDAZ adalah berbeza kerana memberi tumpuan kepada realiti pelaksanaan zakat di lapangan, berdasarkan pengalaman sebenar.

“IjDAZ adalah medan yang akan membincangkan realiti amalan zakat di Malaysia secara telus, bukan teori apatah lagi hipotesis. Ia dicorakkan agar menjadi wadah perkongsian ilmu dan pengalaman sebenar,” katanya.

Bertemakan 'Ke Arah Pemerkasaan Tadbir Urus Syariah dan Dakwah dalam Kalangan Amil Zakat di Malaysia', program itu menghimpunkan 200 pendakwah dari seluruh negara sekali gus menjadi medan pertama dalam menyatukan kekuatan syariah dan dakwah zakat secara berstruktur, praktikal dan berpandukan realiti semasa. 

Program dua hari bermula semalam itu, disusun secara menyeluruh melalui pelbagai sesi strategik antaranya pembentangan penguasaan ilmu syariah, sesi Bicara IjDAZ yang membincangkan mengenai pelapis dakwah zakat berwibawa dan Best Practice iaitu perkongsian pelaksanaan tadbir urus. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan