KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- AmBank Group Bhd (AmBank) dan Pantas Software Sdn Bhd (Pantas) telah memeterai memorandum persefahaman untuk kerjasama di bawah program Rantaian Nilai Penghijauan (GVC) bagi memberi insentif dan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia melaksanakan perubahan yang berkesan dan jangka panjang dalam menghijaukan operasi mereka.
Program GVC, inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Pantas sebagai salah satu rakan strategik GVC, dijangka membantu PKS memulakan perjalanan mereka dalam pelaporan kemampanan, menangani perubahan iklim dan mengurangkan jejak karbon negara.
AmBank ialah rakan kongsi perbankan rasmi Pantas untuk program GVC dan akan menyediakan produk pembiayaan berkaitan kemampanan yang relevan kepada PKS, kata rakan kerjasama itu dalam satu kenyataan bersama mereka hari ini.
“Perkongsian itu bertujuan menyediakan penyelesaian pembiayaan yang inovatif kepada PKS yang menggalakkan daya tahan iklim, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan,” kata mereka.
Kerjasama antara Pantas dan AmBank akan menyaksikan perkembangan produk kewangan baharu yang menghubungkan pembiayaan PKS dengan prestasi kemampanan.
Menurut kenyataan itu, perisian perakaunan karbon Pantas akan ditawarkan secara percuma kepada pelanggan terpilih AmBank dan GVC untuk mengukur dan menjejaki petunjuk prestasi utama (KPI) iklim dan kemampanan mereka.
“Ini akan membolehkan PKS menunjukkan komitmen mereka untuk menangani perubahan iklim sambil turut mendapat manfaat daripada penyelesaian pembiayaan yang inovatif dan Kemudahan Peralihan Karbon Rendah BNM sebanyak RM2 bilion untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan mereka,” katanya.
Di samping itu, Pantas dan AmBank akan bekerjasama dengan rakan kongsi penyedia perkhidmatan lain dengan sokongan daripada Jawatankuasa Bersama Perubahan Iklim (JC3), yang dipengerusikan bersama oleh BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, untuk menyediakan latihan percuma, perisian perakaunan karbon dan kepakaran teknikal untuk membantu PKS mencapai KPI kemampanan.
"Perisian perakaunan Pantas juga akan menyediakan alat pengukuran ukuran hijau yang penting dalam menyediakan data yang boleh dipercayai untuk kewajipan pelaporan kolektif kami di bawah agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang lebih luas," kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial