AM

KUSKOP LANCAR PELAN PEMBANGUNAN PENJAJA DAN PENIAGA KECIL 2023-2027

21/03/2023 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hari ini melancarkan Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil 2023-2027 (P3PK 2023-2027) yang menggariskan strategi dan inisiatif pemerkasaan komuniti itu di Malaysia. 

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata pelan yang berpaksikan Dasar Keusahawan Nasional 2030 itu merupakan kesinambungan kepada Inisiatif Strategik Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil 2015-2020 yang tempoh pelaksanaannya telah tamat.

“Pelan ini mampu menyokong pertumbuhan serta pembangunan kumpulan penjaja dan peniaga kecil di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pembangunan pelan memfokuskan kepada perencanaan strategi dan inisiatif yang lebih komprehensif serta mampan dengan mengambil kira impak pandemik COVID-19 terhadap komuniti penjaja dan peniaga kecil yang terjejas teruk dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini,” katanya ketika berucap melancarkan P3PK 2023-2027 di sini, hari ini.

Bertemakan ‘Memacu Kelestarian Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Melalui Persekitaran Kondusif dan Holistik’, P3PK 2023-2027 dirangka berpaksikan lima teras utama dan diperkukuh dengan 17 strategi serta 29 inisiatif yang diyakini mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan ekosistem perniagaan komuniti itu di seluruh negara. 

“Berdasarkan perancangan, pelaksanaan strategi dan inisiatif untuk tempoh lima tahun akan datang telah dicerakinkan mengikut tiga fasa garis masa iaitu langkah pantas selama setahun, sederhana (satu hingga tiga tahun) dan panjang yang mengambil masa tiga hingga lima tahun.

“KUSKOP percaya dengan penetapan garis masa ini, pelan ini akan memberi impak positif dan kolektif kepada setiap pihak berkepentingan dalam tempoh yang munasabah,”katanya. 

Ewon berkata penetapan garis masa itu juga dilihat akan membolehkan transformasi dan perubahan terhadap landskap pengoperasian penjaja dan peniaga kecil yang lebih sistematik serta mampu memberi impak positif kepada kumpulan sasaran.

“Impak positif ini merangkumi perkara seperti psikologi kendiri penjaja dan peniaga kecil, ekosistem perniagaan yang lebih kondusif, peningkatan sokongan kewangan dan latihan pembangunan perniagaan, pembangunan modal insan serta peningkatan adaptasi budaya pendigitalan,” katanya. 

Ewon berkata pelan itu dijangka mampu memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 86,000 penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan