AM

Berdepan lanun ketika mula bertugas tidak patahkan semangat Supt Aziman

20/03/2023 04:54 PM

JOHOR BAHRU, 20 Mac (Bernama) -- Pengalaman berdepan lanun ketika baru memulakan tugas sebagai inspektor percubaan polis tidak mematahkan semangat Supt Aziman Wardi untuk terus berkhidmat selama lebih 30 tahun.

Pegawai Turus Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu berkata beliau ditugaskan di Pulau Mataking, Sabah, berhampiran dengan Filipina sebaik menamatkan latihan pada tahun 1985.

"Ketika itu waktu maghrib, saya bersama 38 rakan platun cemas kerana hampir kena serang satu kumpulan yang dipercayai lanun. Kalau diserang, Pulau Mataking sangat jauh dari pangkalan polis Semporna dan akan mengambil masa yang lama sekiranya memerlukan bantuan.

"Syukur beberapa jam kemudian kapal lanun itu berundur dan berpatah balik," katanya kepada pemberita selepas menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Johor di Dataran Kawad, IPK Johor di sini hari ini.

Menurut Aziman, 59, ketika itu, Sabah berdepan dengan kegiatan pelanunan dan ancaman daripada kumpulan militan Filipina antaranya Abu Sayyaf, bagaimanapun, beliau berkata insiden itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengalas amanah demi negara tercinta.

Terdahulu, Aziman merupakan antara 167 pegawai dan anggota polis serta orang awam yang menerima surat penghargaan daripada Timbalan Ketua Polis Johor DCP M Kumar mewakili Ketua Polis Johor sempena Peringatan Hari Polis ke-216.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan