EKONOMI

PERNAS LABUR HAMPIR RM1 BILION UNTUK PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS

14/03/2023 09:37 PM

PETALING JAYA 14 Mac (Bernama) -- Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) telah melabur hampir RM1 bilion dalam 86 buah syarikat di bawah skim pelaburan Pernas sejak 1998 sehingga kini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi K. Saraswathy berkata bagi tempoh lima tahun dari 2021 hingga 2025, Pernas memperuntukkan sebanyak RM300 juta bagi pelaburan ekuiti.

"Pihak Pernas selaku agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang menguruskan industri francais memfokuskan beberapa sektor seperti peruncitan, restoran, perkhidmatan dan FTW Racing, jenama yang pertama bagi sektor permotoran dan sukan lasak.

"Untuk FTW Racing, mereka selaku bakal francaisor dapat membimbing bakal-bakal francaisi di bawahnya untuk terus berjaya di dalam industri francais ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan outlet FTW Racing, di sini hari ini.

Pernas memberi suntikan pelaburan berjumlah RM5 juta kepada FTW Ventures Sdn Bhd melalui jenamanya FTW Racing sebagai usaha membantu jenama itu ke arah perniagaan francais. 

Turut hadir Pengerusi Pernas Datuk Hazimah Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif FTW Ventures Sdn Bhd Hairolsham Abu Bakar.

Pada majlis itu, FTW Racing turut melancarkan aplikasi baharu untuk para pelanggan menempah dan membeli produk barangan sukan ekstrem dengan lebih mudah dan cepat. 

Aplikasi itu merupakan aplikasi yang pertama seumpamanya di rantau ini dengan memfokuskan kepada produk-produk aktiviti luar seperti jersi, seluar, kelengkapan keselamatan, topi keledar, motorsikal, basikal dan lain-lain.

Aplikasi tersebut boleh dimuatnaik di Google Play Store atau Apple App Store. 

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan