KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Pinjaman pada 2023 dijangka mencapai 12.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kurang daripada unjuran awal sebanyak 14 peratus.
Pinjaman tersebut antaranya bagi membiayai program dan projek pembangunan Rolling Plan Ketiga di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) serta penebusan bon 1MDB yang matang pada Mac 2023.
Kementerian Kewangan (MoF) menerusi laporan Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini yang dikeluarkan hari ini berkata pembukaan semula MGII Lestari dalam suku tahun pertama membuktikan komitmen kerajaan dalam menyokong agenda kemampanan, inklusif dan berdaya tahan.
Oleh itu, MoF berkata, hutang kerajaan persekutuan dijangka mencecah sekitar 62 peratus daripada KDNK pada akhir 2023, kurang daripada unjuran awal sebanyak 63 peratus.
Pelaksanaan projek Perkongsian Awam Swasta (PPP) juga akan ditambah baik melalui model PPP 3.0 yang menyediakan rangka kerja strategik dari aspek tadbir urus, penyampaian perkhidmatan, pembiayaan dan pendekatan pelaksanaan projek bagi mencapai keberhasilan dan nilai faedah terbaik.
“Pada masa yang sama, kerajaan turut menekankan kepentingan pengukuhan tadbir urus, membanteras ketirisan dan melaksanakan amalan terbaik kewangan awam bagi menangani pendedahan liabiliti luar jangka,” kata kementerian itu.
Bayaran khidmat hutang (DSC)
Bayaran khidmat hutang (DSC) mencatatkan RM41.3 bilion atau 2.3 peratus daripada KDNK pada tahun lepas berbanding unjuran awal sebanyak 15.1 peratus, manakala nisbah DSC berbanding hasil bertambah baik kepada 14 peratus disebabkan oleh pertumbuhan hasil yang lebih tinggi berbanding DSC.
“Kos pembiayaan bagi terbitan dalam negeri berjumlah RM40.6 bilion manakala RM0.7 bilion untuk terbitan luar pesisir. Kesan volatiliti pertukaran mata wang asing kepada pembiayaan luar pesisir adalah minimum memandangkan jumlah hutang dalam mata wang asing yang rendah,” katanya.
MoF berkata purata wajaran kadar hasil ke atas hutang dalam negeri pada akhir 2022 kekal stabil pada 4.031 peratus meskipun persekitaran kadar faedah yang semakin tinggi pada peringkat global.
Pada akhir September 2022, komposisi pemegangan hutang kerajaan persekutuan terdiri daripada 75.2 peratus pemastautin dan 24.8 peratus bukan pemastautin.
Pemegangan pemastautin meningkat kepada RM807.8 bilion dan pemegangan bukan pemastautin stabil sekitar RM267 bilion.
Hutang Kerajaan Persekutuan
Kementerian Kewangan berkata, hutang kerajaan persekutuan mencatatkan RM1.0 trilion atau 60.4 peratus daripada KDNK pada akhir tahun 2022 dengan jumlah hutang terkumpul bagi setiap instrumen kekal tidak melebihi had statutori yang ditetapkan di bawah Akta berkaitan.
Pada 2021, ia mencatatkan sejumlah RMR979.81 milion atau 63.4 peratus daripada KDNK.
Hutang kerajaan persekutuan merangkumi 97.3 peratus sekuriti berdenominasi ringgit manakala baki sebanyak 2.7 peratus adalah dalam mata wang asing yang meminimumkan pendedahan terhadap risiko pertukaran mata wang asing.
“Hutang dalam negeri berjumlah RM1.05 trilion terutamanya merangkumi sekuriti jangka sederhana dan panjang iaitu Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) sebanyak 51.2 peratus dan 44.9 peratus daripada jumlah hutang dalam negeri serta SPK pada 0.9 peratus,” katanya.
Sementara itu, Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) yang merupakan instrumen jangka pendek merekodkan RM31.5 bilion atau tiga peratus daripada jumlah hutang dalam negeri.
Hutang Luar Malaysia
Sementara itu, hutang luar Malaysia meningkat sebanyak 8.1 peratus kepada RM1,17 trilion atau 65.4 peratus daripada KDNK pada akhir September 2022, disebabkan oleh peningkatan pinjaman luar pesisir dan deposit bukan pemastautin serta kesan penilaian daripada tukaran mata wang asing berikutan kenaikan nilai dolar AS.
“Piniaman luar pesisir meningkat kepada RM646.7 bilion atau 55.3 peratus daripada jumlah hutang luar terutamanya disebabkan oleh pinjaman antara bank yang lebih tinggi dan pinjaman berdenominasi mata wang asing bersih oleh sektor swasta,” katanya.
Pemegangan hutang luar oleh bukan pemastautin yang merangkumi sekuriti hutang dalam denominasi ringgit dan deposit meningkat kepada RM365.7 bilion berikutan deposit yang lebih tinggi iaitu RM111.4 bilion, manakala lain-lain hutang luar turut meningkat kepada RM157 bilion disebabkan oleh kredit perdagangan yang lebih tinggi.
Hutang Sektor Awam
Hutang sektor awam yang merangkumi obligasi hutang terkumpul Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun dan syarikat awam bukan kewangan meningkat sebanyak tujuh peratus kepada RM1.48 trilion atau 83 peratus daripada KDNK pada akhir September 2022.
“Jumlah hutang badan berkanun yang dijamin kerajaan meningkat kepada RM95.2 bilion berikutan terbitan bersih Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA),” katanya.
Pendedahan Hutang dan Liabiliti Lain
Jumlah pendedahan hutang dan liabiliti kerajaan dianggarkan sebanyak RM1.44 trilion atau 80.9 peratus daripada KDNK pada tahun lepas berbanding RM1.36 trilion pada 2021.
“Pendedahan hutang dan liabiliti merangkumi hutang kerajaan persekutuan dan obligasi kewangan lain iaitu komitmen jaminan, hutang 1MDB dan liabiliti lain meliputi komitmen bagi projek di PPP dan inisiatif pembiayaan swasta (PFI),” katanya.
Pada akhir 2022, MoF berkata, komitmen projek PPP dan obligasi kewangan projek PFI berjumlah RM142.2 bilion dengan 105 projek PPP sedang dalam pelaksanaan dengan anggaran komitmen sebanyak RM92.1 bilion, manakala liabiliti keseluruhan PFI dianggar berjumlah RM50.1 bilion.
Pembiayaan
Sementara itu, pinjaman kasar kerajaan persekutuan pada 2022 mencatat RM230.9 bilion atau 12.9 peratus daripada KDNK berbanding RM210.1 bilion pada 2021
“Lebih separuh daripada jumlah pinjaman kasar iaitu RM131.5 bilion digunakan untuk membiayai hutang yang matang manakala bakinya untuk membiayai defisit termasuk perbelanjaan pakej bantuan COVID-19,” katanya.
Menurut laporan itu, pinjaman domestik kekal sebagai sumber pembiayaan utama memandangkan kecairan mencukupi dalam pasaran, di mana terbitan MGS mencatat RM86.5 bilion daripada jumlah pinjaman kasar, manakala MGII sebanyak RM85 bilion.
“Di samping itu, terimaan daripada terbitan bil perbendaharaan sebanyak RM59.4 bilion digunakan untuk pengurusan tunai dan mudah tunai kerajaan,”katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial