AM

PM guna beg fail songket Sarawak bawa dokumen Belanjawan 2023

24/02/2023 09:04 AM

PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menggunakan beg fail dengan corak tenunan songket Sarawak untuk membawa dokumen Belanjawan 2023 yang akan dibentang di Parlimen esok.  

Beg berwarna hitam itu dipamerkan oleh Anwar, yang juga Menteri Kewangan, ketika beliau meluangkan masa meninjau persiapan terakhir Belanjawan 2023 di Kementerian Kewangan di sini hari ini. 

Anwar, yang tiba pada kira-kira 3.30 petang, disambut oleh dua Timbalan Menteri Kewangan iaitu Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong serta Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Johan Mahmood Merican. 

Semasa tinjauan kira-kira 30 minit itu, Perdana Menteri turut beramah mesra dengan kakitangan yang terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2023 di Dewan Galeri di lobi Kementerian Kewangan sebelum melawat Bilik Operasi Cukai dan Bilik Operasi Belanjawan 2023 di Aras 10 serta menandatangani dokumen berkaitan. 

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata Belanjawan 2023 akan mengambil kira cabaran ekonomi semasa dan pada masa sama, memacu pertumbuhan ekonomi negara di samping menarik pelaburan.

Katanya kerajaan juga mengambil kira daya saing negara, kepantasan kelulusan perniagaan serta beberapa inisiatif baharu termasuk pendigitalan dan penggunaan mampan selain pengeluaran sumber asli dalam proses hiliran dalam Belanjawan 2023.

Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan 2023 pada 4 petang esok di Parlimen. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan