AM

Empat pantai Labuan, santuari bagi penyu hijau

23/02/2023 02:58 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 23 Feb (Bernama) -- Pantai Tanjung Aru, Lubok Temiang, Nagalang dan Pohon Batu kini menjadi tempat santuari dan menetas bagi spesies penyu hijau (Chelonia mydas) susulan penemuan reptilia itu baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Labuan Faizal Ibrahim Suhaili berkata trend pendaratan penyu di sekitar pulau itu didapati telah berubah dari taman laut ke pesisir pantai.

“Kami mengenal pasti pantai-pantai ini telah menjadi lokasi pendaratan penyu hijau selepas penduduk kampung dan pemancing menemukan reptilia itu mendarat.

“Sejak Januari hingga Sabtu lepas (18 Feb) tiga ekor penyu hijau ditemukan di pantai Tanjung Aru,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada dua individu yang menemukan reptilia itu pada tahun ini.

Faizal Ibrahim berkata pada 29 Okt tahun lepas, seorang penduduk kampung di pantai Pohon Batu menemukan sarang penyu karah dengan 55 anak penyu yang baru menetas.

“Selepas menerima laporan daripada ketua kampung tentang penemuan itu, kami segera mengumpulkan anak penyu itu dan menempatkannya di Pusat Konservasi Penyu di Pulau Rusukan Besar sebelum melepaskan ia ke laut,” katanya.

Faizal Ibrahim berkata berdasarkan trend baharu pendaratan penyu, pihaknya akan menubuhkan ‘renjer penyu’ melibatkan penduduk kampung pada tahun ini.

“Kami akan melantik beberapa penduduk kampung sebagai renjer untuk memantau pendaratan penyu dan melindungi haiwan marin itu di kawasan masing-masing.

“Kami akan memohon peruntukan untuk tujuan ini kerana kami percaya trend penyu mendarat (di empat pantai ini) akan berterusan,” katanya.

Beliau juga berkata Jabatan Perikanan Labuan mengalu-alukan penjualan telur penyu kepada jabatan itu (berdasarkan nilai pasaran semasa) untuk menghalang penjualan secara haram haiwan marin itu yang tergolong dalam spesies terancam.

Faizal Ibrahim berkata lebih 22,000 anak penyu yang menetas di (pulau Kuraman, Rusukan Besar dan Rusukan Kecil) telah dilindungi dan dikonservasi oleh jabatan itu (dari 2015 hingga sekarang) dengan sekurang-kurangnya 98 peratus telah dilepaskan ke laut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan