EKONOMI

KOPERASI MAMPU TRANFORMASI DAN PERKASA EKONOMI MASYRAKAT SETEMPAT

13/02/2023 07:00 PM

GEORGE TOWN, 13 Feb (Bernama) -- Gerakan koperasi amat penting bagi membolehkan ia menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sekali gus mampu mentransformasi dan memperkasakan ekonomi masyarakat, setempat khususnya di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata penekanan terhadap pembangunan gerakan koperasi itu, turut digariskan dalam Rancangan Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat di Pulau Pinang.

“Kerajaan negeri juga menyarankan koperasi untuk beralih dari pasaran domestik kepada pasaran global dan memanfaatkan gerakan koperasi dalam pembangunan usahawan, kerana langkah itu penting untuk meningkatkan daya saing serta ekosistem perniagaan, sekali gus meningkatkan sumbangan gerakan koperasi kepada ekonomi.

“Kerajaan negeri sentiasa turun padang bersama-sama dengan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan lain-lain agensi bagi membantu gerakan koperasi, usahawan dan peniaga, dalam meningkatkan pembangunan sosioekonomi mereka melalui geran-geran bantuan pembangunan serta pembiayaan yang ditawarkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Pemantapan Gerakan Koperasi Negeri Pulau Pinang Tahun 2023 yang turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang Norlelah Samsudin.

Ahmad Zakiyuddin berkata kerajaan negeri melalui jalinan dengan SKM telah membelanjakan dana geran sebanyak RM300,000, untuk gerakan koperasi di Pulau Pinang menerusi bajet tahun lepas bagi membantu golongan usahawan dan koperasi yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.

Katanya kerajaan negeri juga tidak ketinggalan memainkan peranan dan sentiasa komited memastikan rakyat mengecapi nikmat kemakmuran menerusi koperasi, kerana yakin bahawa koperasi merupakan satu pendekatan yang efektif bagi merangsang pembangunan keusahawanan dalam kalangan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan