BERITA TERGEMPAR | Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | |
KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Universiti Teknologi Malaysia (UTM), UTM Holdings Sdn Bhd (UTMH) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Cypark Resources Bhd (CRB) dan Selgate Healthcare Sdn Bhd (SHSB) untuk menjalin kerjasama membangun dan seterusnya mengendalikan sebuah hospital swasta di Skudai, Johor.
Pihak-pihak terbabit dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata hospital pakar itu akan terletak di kawasan seluas 2.02 hektar berdekatan dengan kampus utama UTM Skudai.
Dengan populasi kampus yang besar selain pertambahan jumlah penduduk dan kemajuan pesat di kawasan sekitar di Skudai, Kulai dan Pulai, hospital itu dijangka dapat menampung keperluan di kawasan Iskandar Puteri City dan di luar darinya, kata kenyataan itu.
Hospital pakar itu akan mempunyai pelbagai disiplin dan kira-kira 177 katil dengan kemudahan pesakit dirawat dan pesakit luar, kedai makanan dan minuman dan kemudahan parkir. Ia akan menampung lebih daripada 462,128 kaki persegi dan disasar mula beroperasi pada 2026.
“Hospital ini akan melengkapkan penerokaan UTM dalam bidang bioperubatan dalam usahanya untuk menjadi satu daripada universiti awam utama di Malaysia.
“UTMH akan memainkan peranan penting dalam usaha UTM pada masa depan,” katanya.
Pihak-pihak terbabit juga berkata hospital tersebut akan mengguna pakai teknologi boleh diperbaharui dan jimat tenaga sejajar dengan usaha alam sekitar, sosial dan tadbir urusnya.
Penggunaan teknologi mampan akan menyediakan sumber tenaga yang terjamin bagi mengurangkan kos dan juga pelepasan karbon.
Dalam aspek ini, CRB akan membawakan kepakaran mereka kepada hospital mesra alam itu, kata kenyataan tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial