DUNIA

India: Rahul Gandhi tamatkan perarakan perpaduan nasional dengan mesej menentang keganasan

30/01/2023 11:48 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 30 Jan (Bernama) -- Ahli politik pembangkang terkemuka India, Rahul Gandhi pada Isnin menamatkan perarakan perpaduan nasionalnya dengan mesej menentang politik yang memecahbelahkan serta konflik perkauman. 

Rahul, 52, Ahli Parlimen dan ketua parti Kongres memulakan "Bharat Jodo Yatra" atau perarakan perpaduan India pada 7 September di Kanyakumari di selatan India merentasi 12 negeri, sejauh 3,500 kilometer. 

Beliau memakai jubah tradisional Kashmir "pheran" -- berjalan kaki di tengah-tengah salji lebat menuju ke Srinagar, bandar utama wilayah Kashmir yang menjadi perhentian terakhir.

Ketika menyertai kebanyakan perarakannya beliau sering dilihat memakai kemeja-T.

Presiden Kongres Mallikarjun Kharge dan adik perempuan Rahul, Priyanka Gandhi adalah antara yang berucap kepada ratusan penduduk di penamat perarakan itu. 

Rahul menyeru rakyat India agar bersatu-padu.

Sambil mengimbau kembali peristiwa pembunuhan neneknya Indira Gandhi pada 1984 dan pembunuhan bapanya Rajiv Gandhi pada 1991, Rahul berkata ia membuatkan beliau amat memahami erti keperitan akibat keganasan.

"Saya memahami keganasan, saya melaluinya," katanya sambil menambah mereka yang menghasut keganasan di India "tidak akan pernah mengerti makna keperitan ini kerana mereka tidak pernah mengalaminya."

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan