AM

Konvoi motosikal berkuasa tinggi nyaris dihanyut banjir di Mersing

26/01/2023 12:38 AM

MERSING, 25 Jan (Bernama) -- Sekumpulan konvoi motosikal berkuasa tinggi mengalami detik cemas apabila nyaris dihanyutkan arus deras banjir ketika melalui jalan berhampiran Kampung Jemari, di sini tengah hari tadi. 

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani berkata berdasarkan maklumat, kejadian itu melibatkan enam penunggang warga Singapura dari arah Kluang yang sedang menuju ke Kuantan, Pahang. 

Beliau berkata ketika tiba di lokasi tersebut, kumpulan berkenaan dipercayai cuba melalui jalan yang telah dinaiki air itu sebelum dihanyutkan arus deras. 

“Kesemua mereka telah dibantu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang bertugas melakukan pemantauan banjir di kawasan kampung berkenaan. 

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan kumpulan berkenaan telah patah semula ke Johor Bahru,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini. 

Bagaimanapun, menurut Abdul Razak tiada laporan polis dibuat berkaitan kejadian itu setakat ini. 

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 27 saat memaparkan beberapa individu cuba menyelamatkan motosikal berkuasa tinggi bernombor pendaftaran Singapura yang dipercayai hanyut ketika cuba meredah jalan yang dinaiki air. 

Sementara itu, tinjauan Bernama petang tadi mendapati Jalan Nitar Timur-Pengkalan Batu berhampiran Kampung Jemari telah ditutup sepenuhnya kerana banjir. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan