KUANTAN, 29 Dis (Bernama) -- Perikatan Nasional (PN) Pahang hari ini mengumumkan 18 portfolio tumpuan yang akan dibarisi oleh semua 17 wakil rakyatnya bagi ‘membayangi’ dan memantau peranan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dilantik pada 2 Dis lepas.
Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata inisiatif itu merupakan usaha gabungan politik tersebut untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkualiti dan konstruktif selain meningkatkan prestasi dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.
“Portfolio tumpuan ini bertujuan membayangi kerja-kerja yang dilaksanakan oleh Exco Pahang yang dilantik selain memainkan peranan semak dan imbang terhadap setiap Exco.
"Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN mempunyai satu atau dua portfolio dan mereka akan memainkan peranan dengan mengetuai perbincangan mengenai portfolio masing-masing termasuk aduan yang diterima daripada rakyat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas ADUN dan Ahli Parlimen PN di sini.
Beliau berkata PN Pahang juga akan melantik penyelaras Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kawasan gabungan itu tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bersetuju menjalin kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri selepas keputusan PRU15 menyaksikan DUN Pahang tergantung selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi.
Pada PRU15, BN dan PN masing-masing memperoleh 17 kerusi manakala PH memenangi lapan kerusi.
Berikut adalah senarai portfolio tumpuan yang diumumkan oleh PN Pahang:
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial