AM

Johari Abdul 'clock in' sebagai Speaker Dewan Rakyat

20/12/2022 11:33 AM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Sehari selepas dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul hari ini mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya di Bangunan Parlimen buat kali pertama sebagai simbolik memulakan tugas rasminya.

Beliau tiba pada 8.58 pagi dengan disambut oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau, Ketua Pentadbir Parlimen Datuk Nor Yahati Awang dan Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin yang kemudiannya mengiringi Johari memasuki Pejabat Speaker Dewan Rakyat.

Beliau menyambung tugas mempengerusikan persidangan hari kedua, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15. Ia merupakan Persidangan Dewan Rakyat pertama di bawah Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada hari pertama sidang Dewan Rakyat semalam, Johari yang merupakan Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun dipilih menjawat jawatan tersebut bagi menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Beliau yang dicadangkan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mewakili kerajaan telah mendapat 147 undian berbanding bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang mendapat 74 undi.

Sebelum ini, Azhar Azizan meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat berkuat kuasa 18 Dis setelah menyandang jawatan sejak 13 Julai 2020.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan