AM

PLSB Sungai Skudai Dijangka Manfaatkan 15,000 Penduduk, Kurangkan Risiko Banjir

30/06/2026 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Skudai di Johor yang bernilai RM99.8 juta dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 15,000 penduduk serta mengurangkan risiko banjir di kawasan seluas 50 hektar apabila siap kelak.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu kini berada pada peringkat pra-pelaksanaan, melibatkan perancangan terperinci, siasatan tapak serta urusan berkaitan sebelum kerja fizikal dimulakan.

Beliau berkata perunding bagi penyediaan perancangan terperinci dan siasatan tapak telah dilantik pada Mei 2025 dan kini sedang menyediakan laporan konsep.

“Kerja ukur yang bermula pada November 2025 dijangka siap pada Mei 2027, manakala proses pengambilan tanah yang bermula pada Jun 2026 dijangka selesai pada Ogos tahun ini.

“Berdasarkan perancangan semasa, proses perolehan dan pelantikan kontraktor akan dilaksanakan selepas semua keperluan teknikal disempurnakan, dengan kerja fizikal dijangka bermula pada pertengahan 2027,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai impak jangka pendek, sederhana dan panjang projek itu terhadap penduduk, khususnya dari aspek pengurangan risiko banjir, pemulihan ekosistem sungai, aktiviti nelayan serta operasi keselamatan maritim.

Abdul Rahman berkata projek itu turut dijangka meningkatkan kapasiti sistem saliran dan memperbaiki pengurusan aliran Sungai Skudai, sekali gus mengurangkan kejadian banjir di kawasan yang sering terjejas.

“Projek ini juga dijangka menyumbang kepada pemulihan fungsi ekosistem sungai, meningkatkan kebolehlayaran sungai bagi kegunaan komuniti setempat termasuk nelayan, serta memperkukuh keupayaan operasi keselamatan maritim dan pengurusan kecemasan oleh agensi berkaitan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan mengenai jaminan pelaksanaan projek, beliau berkata sungai sepanjang 46 kilometer itu akan melalui kerja pengukuhan tebing serta pelebaran sungai kepada kira-kira 15 meter di lokasi tertentu bagi meningkatkan kapasiti aliran.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) turut melaksanakan enam projek kecil bernilai kira-kira RM700,000 sebagai langkah awal sementara menunggu projek utama dilaksanakan.

“Kita juga telah mengenal pasti kira-kira 50 lokasi hotspot banjir di sepanjang jajaran sungai termasuk lima hotspot di kawasan Kulai. Jika hotspot ini dapat ditangani dengan baik, kita berharap risiko banjir dapat dikurangkan.

“Kita akan berusaha memastikan projek ini berjalan mengikut perancangan dan dijangka memasuki fasa pelaksanaan fizikal pada pertengahan 2027,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Kementerian Kerja Raya memaklumkan projek naik taraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT-17) Fasa 3 bernilai RM174.53 juta tidak melibatkan pengambilan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), sekali gus menjawab kebimbangan berhubung kemungkinan kelewatan pelaksanaannya.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sebaliknya kerja di kawasan landasan kereta api akan dilaksanakan menerusi permit kerja dan kebenaran laluan yang diperoleh daripada KTMB.

“Tiada sebarang pengambilan tanah terlibat di kawasan KTM. Sepanjang tempoh pelaksanaan kerja, pihak kerajaan akan memohon permit kerja dan izin lalu daripada pihak KTM,” katanya pada sesi sama.

Beliau berkata kerja di kawasan berkenaan dijadual dilaksanakan dari Februari 2027 hingga Disember 2028.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan