AM

Mangsa sekeluarga gemar aktiviti berkhemah - Waris

18/12/2022 10:48 PM

SUNGAI BULOH, 18 Dis (Bernama) -- Sepasang suami isteri serta dua anak mereka yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Jumaat lalu, amat menggemari aktiviti perkhemahan.

Menurut adik mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai, Mary, 58, kakaknya sekeluarga memang kerap melakukan aktiviti itu apabila mempunyai masa lapang dan turut memaklumkan tentang percutian mereka ke tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali.

“Kami tahu mereka pergi berkelah di situ (Father's Organic Farm) bersama kawan. Kawannya yang pergi berkhemah itu turut membawa keluarga. Mereka memang suka pergi berkhemah. 

"Sebaik mendapat tahu tentang kejadian menerusi berita dan media sosial kami sangat bimbang dan hanya mampu berdoa. Kami amat berharap mereka dalam keadaan selamat," katanya ketika ditemui pemberita selepas proses pengecaman mayat di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Mary berkata mayat kakaknya bersama suami dan anak lelakinya berusia tiga tahun, sudahpun menjalani proses bedah sisat serta proses pengecaman oleh waris dan akan dituntut oleh beliau sekeluarga pada malam ini.

Bagaimanapun, mayat anak perempuan mangsa yang berusia enam tahun masih belum ditemui. 

Operasi hari ketiga mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi mangsa yang hilang dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya di sini, ditangguhkan malam ini berikutan cuaca hujan.

Ketua Polis Daerah Hulu, Selangor Supt Suffian Abdullah berkata operasi SAR akan disambung semula pada jam 8 pagi esok, bergantung kepada keadaan cuaca.

Setakat ini, seramai 24 mangsa disahkan terkorban manakala sembilan lagi masih belum ditemui. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan