AM

Audit keselamatan siber untuk jamin keselamatan data - Fahmi

16/12/2022 11:06 AM

PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Satu audit terhadap keselamatan siber perlu dilakukan bagi menjamin keselamatan data pengguna di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) perlu mengenal pasti 'vulnerabilities' atau kelemahan dalam ekosistem sedia ada untuk mengelak daripada kecurian data daripada terus berlaku.

"Data adalah khazanah negara serta perlu dijamin selamat," katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Menteri Komunikasi dan Digital di KKD, di sini hari ini.

Taklimat secara hibrid itu turut dihadiri Timbalan Menteri Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Mohammad Mentek, serta ketua dan petugas jabatan serta agensi di bawah KKD.

Fahmi berkata KKD juga akan memainkan peranan penting untuk menilai serta membantu agensi, jabatan dan kementerian lain dalam memastikan bahawa keselamatan siber akan menjadi keutamaan.

“Niat saya adalah supaya CyberSecurity Malaysia (CSM) di bawah kementerian ini akan sentiasa memainkan peranan yang sangat penting.

“Saya tak nak lagi insiden data daripada mana-mana jabatan dicerobohi, dibolosi dan dicuri sebab nak tak nak ia ada kaitan dengan tindakan scammer,” katanya.

Fahmi juga menasihati orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dalam talian supaya menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 untuk melaporkan kecurian wang dalam tempoh 24 jam.

“Sekiranya kena pada anda jangan malu, jangan takut. Hubungi dalam masa 24 jam selepas insiden berlaku supaya Bank Negara dapat hentikan aliran wang keluar daripada sistem,” katanya.

Beliau juga berharap KKD akan bekerjasama lebih erat dengan Bank Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengatasi isu penipuan dalam talian kerana ia bukan sahaja merugikan rakyat tetapi berisiko kepada keselamatan negara.

Beliau berkata wang yang dicuri daripada jenayah penipuan dalam talian mungkin digunakan dalam pasaran gelap sebagai dana aktiviti yang mengancam keselamatan negara termasuk pengedaran dadah dan pembelian senjata haram.

Dalam pada itu, Fahmi berkata KKD dijangka mengumumkan beberapa perkara sebelum perayaan Krismas akan datang bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama untuk kategori B40 dan M40.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan