AM

MANGSA BANJIR DI PAHANG, KELANTAN DAN PERAK MENURUN, JOHOR MENINGKAT

14/12/2022 07:20 PM

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Perak menunjukkan penurunan petang ini manakala Johor meningkat kepada 148 orang.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir terus menurun pada petang ini iaitu 309 mangsa berbanding 387 orang pagi tadi. 

Terdapat hanya sembilan mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kerayong di Bera berbanding 35 orang pagi tadi manakala di Temerloh, jumlah mangsa di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan juga menurun kepada 158 orang berbanding 210 mangsa pagi tadi.

Bagaimanapun, keadaan di Pekan tidak berubah apabila 142 mangsa masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Mutiara dan setakat ini manakala hanya Sungai Keratong di Rompin melebihi paras bahaya iaitu 11 meter (m) apabila mencatat bacaan 11.16m  petang ini. 

Di KELANTAN, seramai 2,014 orang mangsa banjir daripada 634 keluarga di jajahan Pasir Mas masih ditempatkan di tujuh PPS petang ini, menurun daripada 2,018 orang daripada 635 keluarga pagi tadi.

Sekretariat JPBN memaklumkan seramai 712 mangsa berlindung di SK Tok Deh, SK Kedai Tanjong (47), SK Gual Periok (544), Masjid Mukim Padang Licin (69), PPS Putat Tujoh (157), SK Kubang Kual (251) dan SK Sri Kiambang (234).

Di PERAK, sejumlah 114 orang daripada 29 keluarga berada di PPS SMK Abd Rahman Talib (SMART) di Hilir Perak; Dewan SK Slim River, Mualim dan Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Teluk Memali di Perak Tengah setakat 4 petang ini, berbanding 147 daripada 39 keluarga pada pagi tadi.

Sekretariat JPBN memaklumkan PPS di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Slim River pula telah ditutup pada pukul 10 pagi tadi.

Sementara itu, di JOHOR, Kota Tinggi menjadi daerah kedua terjejas banjir, menjadikan jumlah mangsa bencana itu terus meningkat kepada 148 orang setakat 4 petang ini berbanding 51 orang pagi tadi.

Menurut kenyataan JPBN, seramai 87 penduduk daripada 27 keluarga dari Kampung Baru Sungai Mas dan Taman Desaru Utama, Bandar Penawar di daerah itu mula dipindahkan ke PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas dan Dewan Muafakat Bandar Penawar yang dibuka pada pukul 9.30 pagi.

Di Segamat pula, dua PPS masih dibuka iaitu Balai Raya Kampung Badak yang masih menempatkan seramai 34 mangsa manakala Balai Raya Kampung Kuala Paya menempatkan seramai 27 mangsa, selepas kedua PPS berkenaan dibuka sejak Ahad dan Isnin lepas.

Cuaca di kesemua 10 daerah dilaporkan hujan sejak pagi tadi dan setakat 4.15 petang ini, paras air di Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat dan Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat, masing-masing telah melepasi paras amaran iaitu 19.89 meter dan 9.02 meter. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan