AM

LEBIH 600 ANGGOTA POLIS DITUGASKAN PADA PRK SG BAKAP

16/06/2024 02:12 PM

NIBONG TEBAL, 16 Jun (Bernama) -- Lebih 600 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi menjaga keselamatan sepanjang proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai nanti.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata angka berkenaan munasabah bagi menjamin keselamatan kawasan berkenaan justeru pengundi tidak perlu bimbang mengenai keselamatan.

“Datuk Hamzah Ahmad, Ketua Polis Pulau Pinang dan pasukannya telah berikan taklimat penuh kepada saya berkenaan persiapan PRK.

“Pemilih Sungai Bakap tidak perlu ada kebimbangan mengenai keselamatan kerana pilihan raya ini pesta demokrasi, tidak boleh ada elemen-elemen yang cetuskan kebimbangan dari aspek keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat India Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Sungai Bakap di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata persiapan penugasan pihak polis dibahagikan kepada tiga fasa bermula sekarang sehingga hari penamaan calon, tempoh berkempen dan hari pengundian.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua pihak berkepentingan untuk mematuhi undang-undang keselamatan negara supaya perjalanan ketika kempen PRK berkenaan bagi mengelakkan berlakunya perkara yang mencetuskan ketidaktenteraman.

Pada majlis berkenaan sebanyak RM120,000 disumbangkan kepada empat kuil Hindu di kawasan Sungai Bakap yang merupakan sumbangan peribadi Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR Datuk R. Ramanan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan