AM

Pertukaran KSP perubahan biasa - PM

09/12/2022 09:58 PM

PUTRAJAYA, 9 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertukaran Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) merupakan perubahan biasa.

Beliau berkata pertukaran Datuk Seri Asri Hamidin @ Hamidon bukanlah seperti yang dilaporkan oleh media.

“Ini hanya pertukaran biasa, yang juga membabitkan sama ada kenaikan pangkat atau perubahan jabatan dan urusan.

“Wewenang  (hak dan kekuasaan untuk berbuat sesuatu atau untuk mengeluarkan perintah) perbincangan akan diputuskan penjawat awam yang diketuai Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali)," katanya dalam sidang media selepas mengumumkan senarai Timbalan Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan di sini malam ini.

Sebelum ini dilaporkan Asri, 56, yang dilantik pada 2020, telah ‘dicutikan’ kerana kelibat beliau tidak kelihatan ketika majlis sambutan hari pertama Perdana Menteri yang juga memegang portfolio Menteri Kewangan pada 6 Dis lepas.

Malah ketika sidang media selepas taklimat dengan pegawai kanan Kementerian Kewangan, Anwar menyebut perbincangan mengenai kedudukan penasihat kewangan negara dengan KSP baharu.

Mengenai kedudukan Ketua Setiausaha dan pegawai kanan kementerian, Perdana Menteri berkata ia juga di bawah bidang kuasa Ketua Setiausaha Negara yang akan menguruskan perkara itu.

Pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan menyaksikan empat kementerian digabungkan manakala satu portfolio dimansuhkan.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Luar Bandar digabungkan, yang kini dikenali sebagai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Kementerian Tenaga Sumber Asli pula digabungkan menjadi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Portfolio yang dimansuh ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan