DUNIA

Thailand perketatkan langkah keselamatan susulan peningkatan kemasukan pelancong asing

08/12/2022 11:17 PM

BANGKOK, 8 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha mengarahkan kawalan keselamatan ditingkatkan bagi melindungi pelancong memandangkan peningkatan ketibaan ke negara Asia Tenggara itu.

Prayut menggesa jabatan berkaitan, polis dan pengusaha perniagaan pelancongan meningkatkan langkah keselamatan di semua tempat selain memastikan keselamatan kesihatan awam, menurut timbalan jurucakap kerajaan Traisuree Taisaranakul pada Khamis.

Traisuree berkata ekoran kemasukan pelancong yang berterusan semasa musim sibuk, keselamatan pelancong tempatan dan asing penting bagi memastikan mereka terus yakin untuk melakukan perjalanan di negara ini, lapor Xinhua. 

Sehingga 5 Dis, Thailand menerima 9.78 juta pelancong antarabangsa, menurut Pihak Berkuasa Pelancongan, dijangka jumlah itu akan mencecah 10 juta menjelang 10 Dis.

Jumlah itu meningkat daripada 6.7 juta ketibaan pelancong yang direkodkan pada 2021, namun masih jauh berbanding paras tertinggi yang dicatatkan pada 2019 iaitu 40 juta, menurut data Kementerian Pelancongan dan Sukan.

Prayut turut mengarahkan Kementerian Pengangkutan menghubungi syarikat penerbangan antarabangsa untuk menambah penerbangan bagi memenuhi permintaan yang meningkat, kata jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri pada Selasa.

Sektor pelancongan yang terjejas teruk oleh pandemik COVID-19 adalah antara pemacu ekonomi utama Thailand dan sumber pekerjaan utama. Pemulihan sektor pelancongan akan menyumbang kepada pemulihan pesat ekonomi negara secara berterusan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan