AM

Niaga hadapan MSM ditutup tinggi susulan jangkaan pengeluaran rendah

06/12/2022 09:34 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini susulan prospek pengeluaran rendah sejajar dengan kelemahan bermusim, kata seorang peniaga. 

Peniaga minyak sawit David Ng berkata para peniaga menantikan pengeluaran data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang dijadual dikeluarkan pada 10 Dis.

"Selain itu, berita bahawa Indonesia akan terus mengekalkan dasar biodiesel B35 akan meningkatkan permintaan terhadap MSM,” katanya kepada Bernama dan mengunjurkan paras sokongan berada pada RM3,800 setan metrik dan paras ketahanan pada RM4,300. 

B35 adalah bahan api yang mengandungi campuran 35 peratus bahan api berasaskan minyak sawit. 

Pada penutup dagangan, kontrak Disember 2022 dan Januari 2023 naik RM136 setiap satu masing-masing kepada RM4,039 dan RM4,063 setan metrik. 

Kontrak Februari 2023 meningkat RM127 kepada RM4,094 setan metrik, Mac 2023 naik RM132 kepada RM4,125, April 2023 menambah RM138 kepada RM4,122 dan Mei 2023 menokok RM145 kepada RM4,101. 

Jumlah dagangan meningkat kepada 92,531 lot daripada 69,571 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka naik kepada 300,412 kontrak daripada 278,216 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Disember Selatan naik RM80 kepada RM4,080 setan metrik.

-- BERNAMA 
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan