EKONOMI

Pelabur perlu tumpu sektor dipacu domestik seperti perbankan, telekomunikasi - Kenanga

02/12/2022 12:08 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kalangan pelabur digesa menumpukan sektor yang dipacu secara domestik berikutan peningkatan cabaran luaran selain bersandarkan keyakinan bahawa kerajaan perpaduan yang baru dibentuk akan turut menyokong perbelanjaan di peringkat tempatan.

Sektor terbabit adalah perbankan, telekomunikasi, pengeluar/pengedar automotif, peruncit peringkat pertengahan serta pembinaan.

Dalam nota tinjauannya hari ini, Kenanga Research yang juga cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank Bhd berkata kerajaan yang berteraskan model perkongsian kuasa tersebut akan menyaksikan dasar yang berkemungkinan kekal sekurang-kurangnya dalam tempoh penggal pertengahan.

Ini termasuk pendirian yang mesra perniagaan, dasar perlindungan untuk industri tempatan, syarikat berkaitan kerajaan yang meneruskan operasi seperti biasa serta fiskal kukuh bagi menyokong ekonomi seperti pemberian subsidi tunai, makanan serta bahan api.

Mengulas laporan pendapatan korporat bagi suku ketiga 2022, Kenanga berkata korporat Malaysia terbukti telah mencatat hasil yang menggalakkan.

“Syarikat-syarikat dalam industri berkaitan pengguna turut mendapat permintaan yang baik apabila pandemik semakin mereda dan kehidupan kembali seperti biasa.

“Tidak ketinggalan, penggiat minyak dan gas juga menyaksikan paras peningkatan aktiviti yang ketara,” katanya.

Kenanga telah bertindak menurunkan sedikit unjuran pengurangan pendapatan (indeks petunjuk utama) FBM KLCI bagi 2022 kepada -9.1 peratus (daripada -9.3 peratus) selain merendahkan jangkaan pertumbuhan 2023 kepada 10.1 peratus (daripada 11.4 peratus) dengan sebahagian besarnya menunjukkan pendapatan sektor perladangan yang lemah.

Pada masa sama, ia mengekalkan sasaran akhir FBM KLCI 2022 pada paras 1,500 mata.

Menurutnya, lima saham komponen FBM KLCI di bawah liputannya telah melepasi unjuran tersebut iaitu Axiata, MISC, Public Bank, Petronas Dagangan dan Telekom Malaysia.

Sebaliknya, 11 saham komponen FBM KLCI di bawah liputannya telah tersasar daripada unjuran iaitu Genting Malaysia Bhd, Genting Bhd, Hartalega Holdings Bhd, Top Glove Corp Bhd, IHH Healthcare Bhd, Inari Amertron Bhd, IOI Corp Bhd, Mr DIY Group M Bhd, Nestle (M) Bhd, Sime Darby Plantation Bhd dan Press Metal Aluminium Holdings Bhd.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan