AM

Perjalanan komuter percuma untuk OKU 3,4 Dis ini

01/12/2022 11:14 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perjalanan percuma kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pada 3 dan 4 Dis ini, bersempena Hari OKU Sedunia yang disambut pada 3 Dis ini.

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan perjalanan percuma itu melibatkan perkhidmatan tren KTM Komuter di sektor Lembah Klang dan Komuter Utara, serta boleh dinikmati individu OKU bersama seorang pengiringnya dengan hanya menunjukkan kad rasmi OKU yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berserta kad pengenalan di kaunter tiket KTM Komuter.

"Inisiatif perjalanan percuma kepada golongan OKU ini diteruskan buat kali kedua selepas mendapat sambutan menggalakkan pada kali pertama ia diperkenalkan pada tahun lepas," menurut kenyataan itu.

Menurut KTMB perjalanan percuma itu adalah tanda penghargaan syarikat itu kepada golongan OKU yang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter, selain sebagai bukti keprihatinan dalam menjaga kebajikan serta keselesaan OKU dan para penumpang.

"Statistik menunjukkan pada 2021, seramai 37,363 penumpang OKU menggunakan perkhidmatan KTM Komuter, manakala sehingga Oktober lepas, statistik menunjukkan peningkatan kepada 74,458 penumpang OKU," menurut kenyataan itu.

Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari saluran media rasmi KTMB serta laman sesawang di www.ktmb.com.my.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan