KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Kejayaan 11 graduan Orang Kurang Upaya (OKU) menggenggam ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-50 baru-baru ini membuktikan kekurangan diri bukan penghalang untuk mereka cemerlang dalam pelajaran.
Kemampuan Mohamad Hafizzudin Mohd Fadeli, 30, memperoleh Ijazah Sarjana Sains Bioteknologi Tumbuhan menghapuskan tanggapan negatif yang meragui kebolehan OKU penglihatan terhad sepertinya dalam bidang sains.
Menurut kenyataan UKM, Mohamad Hafizzudin, seorang guru di sebuah sekolah swasta disahkan kehilangan 80 peratus penglihatan disebabkan oleh glaukoma pada 2008 dan didaftarkan sebagai OKU legal blind pada 2010 kerana mempunyai penglihatan kurang daripada 10 peratus.
“Ketika saya mengambil bidang sains sebagai pilihan pengajian, semua orang meragui diri saya dan mengatakan bidang ini sangat susah buat orang yang kurang upaya namun itu bukan penghalang untuk saya berjaya,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Selain Mohamad Hafizzudin, graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Nur Ashikeen Iqbal, 32, terus cekal meneruskan pengajian walaupun keadaan fizikalnya yang berkerusi roda kerana lumpuh bahagian pinggang ke bawah selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari 14 tahun lepas.
Menurut Nur Ashikeen, sikap positif untuk terus berjaya dalam hidup dan fokus kepada kelebihan diri menjadi pendorong kejayaannya malah beliau merancang untuk kekal aktif dalam bidang perniagaan seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada lebih ramai warga OKU.
Graduan OKU penglihatan dan pertuturan, Wan Abdul Hasib Wan Arif, 24, yang memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan mengakui tugasan pembentangan berkumpulan adalah antara cabaran terbesar baginya yang mempunyai masalah untuk bercakap dengan jelas.
Tidak berputus asa, beliau sebaliknya menggunakan kemudahan teknologi aplikasi Text-to-Speech sebagai alat bantuan ketika membuat pembentangan sekali gus membutikan beliau mampu berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain.
“Saya berhasrat menyambung pelajaran ke peringkat kedoktoran dan bercita-cita untuk membuat kajian tentang cara yang sesuai untuk membantu golongan OKU dalam bidang pelajaran dan juga sektor pekerjaan berdasarkan jenis keupayaan mereka,” katanya.
Wan Abdul Hasib berharap golongan OKU mampu menjadi tenaga pekerja dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat serta mengurangkan stigma masyarakat terhadap golongan itu terutama dalam sektor pekerjaan awam dan swasta.
Sementara itu, Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman dalam kenyataan sama berkata universiti itu sentiasa memastikan kesejahteraan semua warganya terutama OKU terpelihara, kondusif, selamat dan selesa bagi memastikan aktiviti pembelajaran berjalan dengan lancar.
“Prasarana serta kemudahan yang mesra OKU ini sentiasa menjadi satu daripada keutamaan UKM dalam mencapai kualiti pendidikan bertaraf dunia seiring keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata antara prasarana mesra OKU yang disediakan di UKM termasuk van mobiliti OKU, bilik kediaman khas untuk OKU, perkhidmatan jurubahasa isyarat, sokongan psikologi, sokongan bantuan kewangan dan sokongan pembelian alat keperluan.
Majlis Konvokesyen UKM ke-50 berlangsung sejak 26 Nov hingga Khamis ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial