DUNIA

Singapura, Malaysia Tegaskan Semula Hubungan Pertahanan, Kerjasama Rapat

09/04/2026 11:13 PM

SINGAPURA, 9 April (Bernama) -- Singapura dan Malaysia telah menegaskan semula hubungan pertahanan yang lama terjalin serta menekankan kepentingan kerjasama rapat dalam mengekalkan kestabilan serantau.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Pertahanan (Mindef) Singapura berkata komitmen itu diketengahkan semasa pertemuan antara Menteri Pertahanan Chan Chun Sing dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.

Malek Razak, yang dalam rangka lawatan pengenalan ke Singapura dari 8 hingga 10 April, turut melakukan kunjungan hormat ke atas Panglima Angkatan Bersenjata Singapura Laksamana Madya Aaron Beng.

"Lawatan Jeneral Malek Razak menekankan hubungan pertahanan dua hala yang mesra dan lama terjalin antara Singapura dan Malaysia.

"Angkatan tentera kedua-dua negara kerap berinteraksi melalui pelbagai aktiviti, termasuk eksesais dua hala, lawatan dan pertukaran profesional, kehadiran kursus silang, serta melalui platform pelbagai hala seperti Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) , Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), dan ADMM-Plus," menurut Mindef.

Menurut kementerian itu, interaksi tersebut telah memperkukuh ikatan profesional dan persefahaman bersama antara kedua-dua angkatan tentera, di samping menyumbang kepada keselamatan dan kestabilan serantau.

Semasa lawatan itu, Malek Razak meninjau Pusat Ujian dan Eksperimen Pertahanan Siber Perkhidmatan Digital dan Perisikan (CyTEC) di Kem Stagmont.

Beliau turut melawat Skuadron 112 Angkatan Udara Republik Singapura di Pangkalan Udara Changi (Timur) untuk taklimat mengenai skuadron tersebut dan peranan Pesawat Pengangkut Tangki Pelbagai Guna A330 (MRTT), termasuk pengangkutan udara bagi menyokong operasi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR).

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan