SERDANG, 28 Nov (Bernama) -- Berbekalkan semangat tinggi dan motivasi keluarga, Dr Marzani Mohammad Yusop yang menghidap penyakit jantung berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-46 (Sidang Dua) hari ini.
Anak kelahiran Taiping, Perak berusia 45 tahun itu berkata beliau menghidap penyakit jantung pada awal Disember 2019 dan susulan itu doktor memasang sten jantung sebagai prosedur kesihatan selain melakukan pemeriksaan kesihatan berkala di Institut Jantung Negara (IJN).
Di sebalik masalah kesihatannya, anak kedua daripada enam adik-beradik itu juga menanggung kesedihan susulan kehilangan abang sulung akibat penyakit jantung pada 1 Okt 2019.
"Kehilangan abang memberi kesan mendalam kepada saya dan keluarga sehinggakan tidak bermotivasi untuk meneruskan pengajian PhD saya dalam bidang Kesihatan Awam.
“Arwah abang amat inginkan adik-adiknya belajar hingga peringkat tertinggi dan mahu seorang daripada kami mempunyai pangkat Dr (PhD). Abang saya tidak sempat untuk tengok kejayaan saya hari ini," katanya yang kelihatan sebak ketika berkongsi kisah abangnya kepada Bernama.
Marzani berkata bagaimanapun beliau bangkit daripada kesedihan itu dengan menjadikan arwah abangnya sebagai motivasi utama selain sokongan berterusan daripada anggota keluarga dan penyelia pengajiannya.
Bapa kepada empat cahaya mata itu kini berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak.
"Pesanan saya kepada anak muda yang sedang belajar, jangan mudah putus asa walau apa pun cabaran mendatang. Jatuh sekali pastikan bangunlah berkali-kali, insya-Allah ada sinar di hujung terowong," katanya.
Sementara itu, penerima PhD dalam bidang Agronomi, Dr Lee Kwee Tiong, 63, berkata beliau mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi kerana berasa bosan di rumah selepas bersara.
Lee yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Pertanian di FELCRA Berhad pada tahun 90-an dan Ketua Sumber di Khazanah Nasional Berhad berkata beliau berasa tidak produktif dengan hanya berada di rumah selepas persaraannya selain tiada aktiviti lain untuk dibuat.
“Saya memulakan PhD pada 2015 dan bertekad untuk menamatkan pengajian di peringkat ijazah hingga PhD. Saya hanya berfikir untuk melancong ke luar negara selepas ini,” katanya yang memiliki tiga anak dan dua cucu.
Sidang kedua konvokesyen yang bermula Sabtu lepas hingga 2 Dis ini menyaksikan seramai 5,688 graduan pelbagai program pengajian menerima ijazah dan diploma masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial