KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengagihkan lebih RM447 juta dana zakat setakat semalam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata jumlah tersebut merangkumi 38 Skim Bantuan serta agihan secara tidak langsung menerusi program pembangunan asnaf dan institusi pendidikan di bawah seliaan agensi berkenaan.
"Alhamdulillah, MAIWP cemerlang dari sudut audit, tatakelola, tadbir urus dan juga ketelusan malah kita boleh lihat segala agihan yang dilaksanakan oleh MAIWP dilakukan dengan begitu telus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) MAIWP di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Zulkifli merakamkan penghargaan kepada semua pembayar zakat di Wilayah Persekutuan atas komitmen berterusan mereka dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Mereka (pembayar zakat) inilah sebenarnya adiwira kita, tanpa komitmen mereka, usaha membantu golongan yang memerlukan tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Mengenai majlis hari ini, beliau berkata sebanyak 88 graduan IKB MAIWP diraikan sebagai pengiktirafan atas kejayaan menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang kemahiran.
Zulkifli berkata majlis itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya buat golongan asnaf, selaras aspirasi Kerajaan MADANI bagi memastikan akses pendidikan yang inklusif.
"Para graduan perlu sentiasa meningkatkan kemahiran, bersedia untuk belajar sepanjang hayat serta berani menceburi pelbagai bidang termasuk bidang keusahawanan sebagai antara prospek kerjaya,” katanya.
Beliau juga berharap agar IKB MAIWP terus berkembang sebagai institusi latihan contoh yang bukan sahaja menekankan aspek teknikal, malah membentuk sahsiah, integriti dan nilai-nilai Islam dalam kalangan pelajarnya.
Majlis konvokesyen itu menjadi simbolik kepada kejayaan MAIWP dalam memperkasakan asnaf melalui pendidikan kemahiran sebagai wadah meningkatkan taraf hidup serta membina masa depan yang lebih baik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial