KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kuala Lumpur (KL) Polo Club bagi membangunkan program terapi untuk kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) menerusi aktiviti menunggung kuda.
Presiden EAM Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata MoU itu juga bertujuan membantu Riding for the Disabled Association (RDA) untuk mengadakan program terapi berkuda secara konsisten yang memberi manfaat kepada kanak-kanak OKU.
“RDA akan menerima empat ekor kuda bagi program terapi untuk kanak-kanak OKU dengan dua daripada kuda itu adalah daripada KL Polo Club,” katanya dalam ucapan di Pertandingan International Show Jumping-Tent Pegging di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata program terapi berkuda oleh RDA adalah percuma bagi kanak-kanak OKU berusia lima hingga 18 tahun.
Sementara itu, Ketua Pelatih dan Koordinator RDA K. Mutusamy berkata program terapi berkuda diperlukan dalam membantu kanak-kanak OKU untuk lebih berkeyakinan dan membolehkan mereka dilayan seperti individu normal lain.
Beliau berkata RDA juga akan memperoleh kandang kuda untuk kegunaan persatuan itu bermula 1 Dis di KL Polo Club.
Pertandingan International Show Jumping-Tent Pegging merupakan acara ekuestrian yang berlangsung semalam dan hari ini membabitkan peserta daripada Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial