POLITIK

Kerjasama GRS-BN dalam kerajaan Sabah berjalan baik - Hajiji, Bung Moktar

25/11/2022 09:15 PM

KOTA KINABALU, 25 Nov (Bernama) -- Hubungan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS)  dan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan negeri berjalan dengan baik, tegas Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini.

“Kami sepakat memberi fokus kepada usaha memulihkan ekonomi Sabah dan memacu pembangunan negeri,” kata Hajiji kepada pemberita selepas membentangkan Belanjawan Sabah 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.

Sebaik Hajiji, yang juga Ketua Menteri Sabah, membentangkan belanjawan bertemakan 'Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera' itu, Bung Moktar bingkas bangun untuk menyokong usul belanjawan berkenaan.

Sementara itu, ditanya tentang kenyataan beliau bahawa GRS mengisytihar ‘perang’ kerana menyokong calon perdana menteri tanpa perbincangan dengan BN Sabah, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata ia hanyalah luahan peribadi dan mengakui sedikit emosi ketika itu.

“Politik memang begitu. Kadangkala anda perlu menempuh sesuatu,” katanya sambil menegaskan tiada perselisihan berlaku antara GRS dan BN Sabah.

Sebelum ini, Bung Moktar dilaporkan berkata tindakan GRS menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri melanggar perjanjian kerjasama dua parti itu dan mendakwa ia tindakan isytihar ‘perang’ kepada BN Sabah.

GRS dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) menjalin kerjasama dengan BN yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bagi mentadbir negeri ini.

Bung Moktar berkata pemimpin BN Sabah sentiasa berjiwa besar demi menjamin keharmonian serta kestabilan politik di negeri itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan