Oleh Khatijah Jistoh
TAWAU, 29 April (Bernama) -- Cuaca panas yang melanda Sabah ketika ini dikenal pasti sebagai faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes kebakaran apabila 1,403 insiden dilaporkan berlaku di seluruh negeri dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Muhammad Taquiddin Victor Doon berkata cuaca ekstrem itu menjadi pemangkin kekerapan kebakaran, khususnya membabitkan kategori kebakaran terbuka.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 863 kes atau kira-kira 61 peratus adalah kebakaran terbuka yang dipengaruhi oleh keadaan persekitaran yang kering.
“Pecahan bagi kebakaran terbuka ini membabitkan belukar dan lalang sebanyak 551 kes, diikuti kebakaran hutan (233 kes), sampah (51 kes) dan kebun atau ladang (28 kes),” katanya kepada Bernama di sini.
Muhammad Taquiddin berkata cuaca panas yang disertai kekurangan taburan hujan menyebabkan kelembapan tanah dan tumbuh-tumbuhan seperti rumput menjadi rendah, sekali gus memudahkan api menyambar walaupun daripada punca yang kecil.
“Keadaan rumput, semak dan kayu menjadi sangat kering, seterusnya menyebabkan kawasan itu mudah terbakar walaupun hanya disebabkan oleh percikan api yang kecil.
“Selain itu, suhu tinggi bersama tiupan angin, khususnya semasa Monsun Barat Daya menyebabkan api cepat merebak dan sukar dikawal, sekali gus mampu merebak ke kawasan lain dalam tempoh singkat,” katanya.
Muhammad Taquiddin bagaimanapun berkata meskipun cuaca panas menjadi pemangkin, punca utama kejadian kebakaran masih lagi aktiviti manusia yang tidak terkawal.
“Aktiviti pembakaran terbuka, pembuangan puntung rokok, pembersihan kebun dan kecuaian dalam penggunaan elektrik serta dapur menjadi pencetus utama kepada insiden kebakaran yang dilaporkan,” katanya.
Bagi menghadapi situasi itu, Muhammad Taquiddin berkata JBPM Sabah memperkukuh kesiapsiagaan operasi melalui pemantauan berterusan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi sepanjang musim kering.
Beliau berkata langkah itu disokong dengan penempatan anggota serta aset pada tahap optimum bagi memastikan keupayaan tindak balas yang pantas, cekap dan berkesan.
Selain itu, JBPM Sabah turut mempergiat kempen kesedaran awam, antaranya melalui program seperti Bomba Komuniti, Junior Bomba, Suri Komuniti Bomba (Suri) dan Briged Bomba yang diperkasa bagi bertindak sebagai responden awal.
“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada pendidikan pencegahan kebakaran, teknik penggunaan alat pemadam api serta tindakan awal yang perlu diambil sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
“Langkah ini penting bagi membentuk masyarakat yang mampu berperanan sebagai responden awal dalam menghadapi sebarang insiden kebakaran di peringkat komuniti,” katanya lagi.
Awal pagi tadi, kira-kira 30 rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Bokara, Kampung Karamunting di Sandakan.
Insiden itu adalah yang kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan di Sandakan, selepas tragedi kebakaran rumah air di Kampung Bahagia pada 19 April lepas yang menyebabkan 1,000 rumah musnah dan lebih 9,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial