KAJANG, 24 Nov (Bernama) -- Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim bertolak dari kediamannya ke Istana Negara pada 4.03 petang tadi untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.
Ahli Parlimen Tambun yang memakai baju Melayu berwarna hitam lengkap bersamping dan bersongkok bersama isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berbaju kebaya labuh itu keluar dari kediamannya di Sungai Long di sini, diiringi pengiring polis.
Ketika keluar dari kediamannya, Anwar, 75, sempat melambaikan tangan ke arah petugas media yang telah berkampung di hadapan rumahnya sejak Ahad selepas Pilihan Raya Umum ke-15 bagi mendapatkan perkembangan politik semasa.
Terdahulu penyokong beliau yang mengerumuni kediamannya turut melaungkan slogan ‘reformasi’.
Sementara itu, suasana di kediaman Anwar meriah dikerumuni pimpinan PH sejak pukul 1 tengah hari ini selain petugas media termasuk media antarabangsa yang semakin ramai berkumpul di sini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan sebentar tadi berkata pelantikan Pengerusi PH itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial