AM

AMM Ke-58 Bermula, Malaysia Tekankan Agenda Masa Hadapan Serantau

09/07/2025 11:34 PM

Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Malaysia memainkan peranan pentingnya di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 menerusi penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang berjalan lancar pada Rabu.

Perbincangan peringkat tinggi itu berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula dengan kunjungan hormat Menteri-Menteri Luar ASEAN terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyerlahkan peranan Malaysia dalam menerajui usaha serantau ke arah ASEAN yang lebih bersatu dan berpandangan jauh.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ucapan perasmiannya menyeru ASEAN untuk memperkukuh perpaduan dan kepentingan strategiknya dalam menghadapi ketidaktentuan global yang semakin meningkat.

Anwar turut menekankan keperluan untuk ASEAN kekal sebagai pemangkin kepada keamanan, kestabilan dan pembangunan yang inklusif.

Sejurus selepas itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mempengerusikan sesi pleno yang dihadiri menteri luar dari 10 negara anggota ASEAN dan Timor-Leste yang mengambil bahagian sebagai pemerhati.

Antara isu utama dibincangkan ialah pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2045 serta usaha memperkukuh integrasi serantau dan ketahanan ekonomi.

Mereka turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang mendesak termasuk situasi di Myanmar.

Hari ini turut mencatat sejarah apabila Algeria dan Uruguay menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asia Tenggara (TAC).

Penandatanganan perjanjian itu menyerlahkan peranan besar ASEAN pada peringkat global serta pertambahan bilangan rakan kerjasama yang menerima pakai prinsip kewujudan bersama secara aman dan saling menghormati.

Mohamad kemudiannya mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar Uruguay Mario Lubetkin.

AMM Ke-58 dan mesyuarat berkaitan berlangsung dari 8 hingga 11 Julai, diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menampilkan 24 mesyuarat peringkat menteri membabitkan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.

Mesyuarat peringkat tinggi empat hari itu, menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan termasuk Menteri-Menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, negara peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), Rakan Dialog Sektoral dan pegawai kanan Sekretariat ASEAN.

AMM ke-58 diteruskan esok dengan beberapa siri mesyuarat berkaitan bersama Rakan Dialog ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan