JENAYAH & MAHKAMAH

Eksesais CARAT 2022 tingkatkan keupayaan tempur ATM

21/11/2022 04:15 PM

KUANTAN, 21 Nov (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Amerika Syarikat (TLAS) meneruskan Eksesais Kerjasama Kesiagaan dan Latihan 2022 (CARAT 22) bermula hari ini hingga 30 Nov, selepas ia terhenti sejak 2018 berikutan pandemik COVID-19.

Timbalan Asisten Ketua Staf J3 Markas Angkatan Bersama Laksamana Pertama Baharudin Wan Md Nor berkata eksesais dwitahunan bertemakan ‘Keselamatan Maritim’ itu, dilaksanakan di sekitar daerah ini dan perairan Laut China Selatan melibatkan anggota serta pegawai masing-masing daripada ATM seramai 303 orang dan TLAS (300).

Beliau berkata eksesais itu bertujuan mengukuhkan hubungan tentera kedua-dua negara selain meningkatkan keupayaan tempur dan perkongsian keselamatan maritim selaras dengan undang-undang, norma serta piawaian antarabangsa.

“Seperti yang dipersetujui, Keselamatan Maritim telah dipilih sebagai satu konsep yang luas bagi eksesais tahun ini. Walaupun kami menyedari hakikat bahawa tiada definisi sebenar di peringkat antarabangsa mengenai istilah tersebut, secara umumnya ia digunakan bagi menggambarkan cabaran sedia ada mahupun baharu di serantau dan antarabangsa terhadap keselamatan serta kedaulatan dalam kawasan maritim.

"Dalam hal ini, isunya berkisar tentang kegiatan lanun dan rompakan bersenjata di laut, penyeludupan dan pengedaran dadah, keselamatan pelabuhan serta perang atau risiko perang. Bagi memastikan kita bersedia menghadapi perkara tidak dingini itu, kita memerlukan latihan dan Siri Latihan CARAT adalah antara platform penting yang membantu dalam meningkatkan kapasiti untuk kita berbuat demikian," katanya dalam ucapan perasmian di Pusat Peperangan Bersama Kem Al-Sultan Abdullah, di sini hari ini.

CARAT 22 melibatkan fasa pelabuhan yang menumpukan kepada program seminar dan perbincangan melibatkan 'Subject Matter Expert' (SME) secara teori dan praktikal seperti menerusi Seminar Perubatan, Seminar ‘Ummanned Aerial System’ (UAS), Seminar ‘Anti-Submarine Warfare’ dan Seminar ‘Force Protection’.

Bagi fasa laut pula, ia merupakan aktiviti latihan di medan membabitkan aktiviti peperangan tiga dimensi bagi menghadapi ancaman tradisional dan bukan tradisional yang akan berlangsung di perairan Laut China Selatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan