AM

Kerajaan Negeri Cadang Tarik Balik Lesen Pengusaha Bot Langgar Peraturan

30/06/2025 03:37 PM

KUALA TERENGGANU, 30 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu akan mengemukakan cadangan kepada Jabatan Laut Malaysia untuk menarik balik ataupun menggantung lesen pengusaha bot pelancong atau tekong yang terlibat dalam kemalangan disebabkan kecuaian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata tindakan tegas itu bagi memberikan pengajaran dan memastikan pengusaha bot sentiasa mementingkan keselamatan pelancong.

Beliau berkata terdapat 628 pengusaha bot pelancong berlesen yang beroperasi di pulau peranginan di negeri ini termasuk Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol, Pulau Kapas dan Pulau Lang Tengah.

"Di Terengganu, sebanyak 70 peratus sektor pelancongan tertumpu di pantai dan pulau. Oleh itu, kita ada beberapa rakan strategik seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut Malaysia yang sentiasa mengadakan sesi libat urus untuk penguatkuasaan dan sebagainya.

"Susulan kes kemalangan yang berlaku di Pulau Perhentian sehingga mengakibatkan kehilangan tiga nyawa, kita akan hantar surat cadangan kepada Jabatan Laut Malaysia untuk mereka tarik atau gantung lesen pengusaha bot atau tekong yang cuai sehingga menyebabkan kemalangan … tarik atau gantung lesen bergantung pada kes," katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman hari ini.

Razali berkata kerajaan negeri dan agensi penguatkuasaan lain akan lebih kerap turun padang untuk memberikan penerangan kepada operator pelancongan berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengurus penumpang dan pelancong.

Selain itu katanya, pengusaha bot juga digalakkan menyampaikan taklimat keselamatan kepada penumpang sebelum berlepas.

"Ada juga kes melibatkan pelancong culas untuk pakai jaket keselamatan. Sebab itu kita dah buat banyak sesi libat urus dengan semua agensi dan pengusaha pelancongan untuk terangkan SOP bagi keselamatan pelancong.

"SOP sudah ada … tetapi tidak diikuti sehingga menyebabkan berlaku kejadian tidak diingini. Seperti kes bot terbalik, kita dapati berlaku tiga pelanggaran oleh pengusaha bot terbabit, iaitu membawa lebih penumpang, tidak memakai jaket keselamatan dan lebih teruk mengambil bahan terlarang," katanya.

Dalam kejadian pada 10.30 malam Sabtu lepas, S. Arumugam, 40, dan anaknya A. Sarrvihka, 3, serta seorang lagi saudara perempuan, V. Vennpani, 10, maut manakala dua mangsa cedera termasuk seorang kritikal, selain 10 lagi terselamat. 

Kesemua penumpang bot berusia tiga hingga 40 tahun yang mempunyai pertalian keluarga itu dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas selesai makan malam, namun ombak besar tiba-tiba datang menyebabkan bot terbalik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan