TENOM, 13 Nov (Bernama) -- Tindakan dan keputusan Riduan Rubin bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Tenom adalah kehendaknya sendiri serta penyokongnya, kata bapanya Datuk Rubin Balang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong.
Rubin yang juga Penyelaras Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Tenom, berkata keputusan Riduan untuk menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) adalah keputusan anaknya sendiri setelah mendapat tawaran daripada Presiden KDM Datuk Peter Anthony pada Jumaat (11 Nov).
Beliau berkata Peter telah bertanya kepadanya mengenai keputusan Riduan menyertai KDM dan Rubin menyatakan Riduan bukan lagi ahli Bersatu setelah keluar parti sebelum penamaan calon pada 5 Nov lepas.
“Justeru saya memaklumkan bahawa saya tidak mempunyai kuasa dan hak untuk membantah atau berbuat apa-apa, memandangkan Riduan bukan lagi ahli Bersatu...beliau berhak menentukan masa depan perjuangan politiknya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada 11 Nov, Peter mengesahkan penyertaan Riduan ke dalam partinya sambil menjelaskan Riduan akan kekal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai calon Bebas, namun dibantu jentera parti itu.
Pada hari yang sama, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan menggesa GRS supaya tindakan diambil terhadap Rubin yang didakwanya menjadi dalang Riduan menyertai KDM sekali gus melanggar kerjasama GRS-BN pada PRU15.
Semalam Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan berkata gabungan itu akan mengambil tindakan terhadap ADUN Kemabong itu jika terbukti beliau terlibat secara langsung berkempen untuk anaknya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial