EKONOMI

SASARAN 10,000 STESEN PENGECAS EV BERADA DI LANDASAN, 700 TELAH DISEDIAKAN

09/11/2022 01:16 PM

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Sasaran kerajaan untuk mewujudkan sehingga 10,000 stesen pengecasan awam bagi kenderaan elektrik (EV) di Malaysia menjelang 2025 di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 berada di landasan yang betul, dengan kira-kira 700 stesen telah disediakan di seluruh negara setakat ini.

Pengarah Pembangunan Perindustrian, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Muhammad Zulhilmi Ahmad berkata stesen itu dapat disediakan menerusi kerjasama dengan pihak swasta.

“Ada syarikat tertentu terutama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sanggup memperjuangkan (usaha hijau ini).

“Kami berharap sasaran itu dapat dicapai untuk menyokong pembangunan industri EV tempatan,” katanya pada Siri 2 Invest Malaysia bertajuk ‘The Road to EV’ di sini, pada Rabu.

Beliau berkata kerajaan telah menyediakan insentif cukai, status perintis serta bantuan kewangan untuk syarikat yang berminat membangunkan infrastruktur EV di negara ini.

Firma utama utiliti Tenaga Nasional Bhd menjangkakan pasaran EV berkembang kepada 18,000 terminal pengecasan untuk 524,409 kenderaan elektrik bateri di jalan raya menjelang 2030, dengan hasil elektrik tahunan berjumlah RM1.25 bilion.

Ini bersamaan dengan jangkaan 4.4 juta tan pengurangan pelepasan CO2, dengan mengambil kira  bilangan enjin pembakaran dalaman yang setara yang tiada di jalan.

Sementara itu, semasa menyampaikan ucapan alu-aluan, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata industri EV adalah bidang pertumbuhan yang menarik untuk Malaysia, menawarkan potensi besar bagi mencipta manfaat ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Beliau berkata Pasaran Karbon Sukarela (VCM) Bursa Malaysia, yang akan dilancarkan menjelang akhir 2022 melalui lelongan, akan melaksanakan peranan penting dalam menyokong industri yang boleh menjana kemajuan ekonomi dan perubahan alam sekitar.

“Saya amat menggesa korporat untuk menjadi antara peserta awal lelongan itu, untuk menunjukkan kepimpinan mereka dalam tindakan iklim,” katanya.

Abdul Wahid berkata VCM memudahkan penemuan harga untuk produk baharu dengan berfungsi sebagai harga rujukan untuk perdagangan kredit karbon dan mewujudkan isyarat harga ketara untuk bakal pengeluar yang mahu memulakan projek kredit karbon domestik.

“Ekosistem yang baik adalah penting dengan kerajaan dan pemaju projek lain, institusi kewangan mempunyai peranan yang besar di sini -- pelaburan dalam projek yang betul adalah kunci untuk memacu bekalan kredit karbon yang mampan dan menjadikannya boleh diakses secara meluas,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan