EKONOMI

97 peratus daripada 100 syarikat teratas Malaysia sertakan data kemampanan dalam laporan tahunan

07/11/2022 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Tinjauan Pelaporan Kemampanan dwitahunan KPMG 2022 ke atas 58 negara mendapati 97 peratus daripada 100 syarikat teratas Malaysia turut menyertakan data kemampanan dalam laporan tahunan mereka.

Laporan itu berkata Malaysia mendahului 10 negara teratas mengikut peratusan 100 syarikat teratas yang memasukkan maklumat kemampanan dalam laporan kewangan tahunan mereka.

Kaji selidik itu juga mendapati dengan 99 peratus syarikatnya menjalankan pelaporan kemampanan, Malaysia adalah salah satu daripada tujuh negara Asia Pasifik, wilayah dan bidang kuasa dengan kadar pelaporan melebihi 90 peratus, negara lain adalah Jepun (100 peratus), Singapura (100 peratus), Korea Selatan (99 peratus), Thailand (97 peratus), Taiwan (94 peratus) dan Pakistan (91 peratus).

Ketua Penasihat Kemampanan KPMG di Malaysia, Phang Oy Cheng berkata walaupun pelaporan kemampanan sebahagian besarnya bersifat sukarela sejak dua dekad yang lalu, kajian tahun ini mendedahkan bahawa peraturan akan membuat perbezaan dalam membolehkan syarikat mencapai kemajuan kukuh dalam laporan dan rancangan berkaitan Alam Sekitar, Kelestarian dan Tadbir Urus (ESG) mereka.

"Sebagai contoh, walaupun terdapat peningkatan ketara dalam syarikat yang melaporkan sasaran pengurangan karbon, rancangan mereka kekal tidak jelas dan tindakan dilakukan terlalu lambat untuk menunjukkan hasil sebenar," katanya dalam satu kenyataan.

Phang menekankan keperluan untuk piawaian yang konsisten secara global daripada kerajaan dan usaha bersepadu daripada syarikat terbesar di dunia untuk melaporkan semua aspek ESG, ia akan mengiktiraf hubungan yang jelas antara isu kesaksamaan alam sekitar dan sosial secara lebih luas.

Inisiatif Pelaporan Global kekal sebagai piawaian paling dominan yang digunakan di seluruh dunia dengan Singapura, Taiwan dan Chile mengetuai penggunaan piawaian pelaporan tersebut.

Kajian dilakukan KPMG juga menunjukkan penggunaan garis panduan bursa saham negara yang lebih baik di mana penggunaan Inisiatif Pelaporan Global (GRI) atau Lembaga Piawaian Perakaunan Kelestarian adalah lebih rendah.

Antara negara yang mendahului daripada segi penggunaan garis panduan bursa saham adalah Afrika Selatan (100 peratus), Malaysia (95 peratus) dan India (89 peratus).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan