AM

30 kru filem terperangkap di belakang Gua Tempurung berjaya diselamatkan

26/10/2022 09:50 PM

IPOH, 26 Okt (Bernama) -- Seramai 30 kru penggambaran filem antarabangsa yang terperangkap di belakang Gua Tempurung di Gopeng, dekat sini, selepas laluan keluar gua itu dinaiki air berikutan hujan lebat petang tadi, selamat dan berjaya di bawa keluar.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata, jumlah kru yang terlibat dalam aktiviti penggambaran di kawasan itu adalah seramai 80 orang dan yang terperangkap adalah seramai 30 orang terdiri daripada warga tempatan dan warga Singapura.

Katanya, kesemua mangsa terperangkap berjaya diselamatkan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada anggota polis dan bomba.

“Semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,”  katanya dalam kenyataan, malam ini.

Mohd Yusri berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar menerima maklumat pada jam 4.10 petang mengenai orang awam terperangkap di bahagian belakang Gua Tempurung kerana paras air naik.

“"Sepasukan anggota dari Balai Polis Gopeng dan Kota Bharu telah pergi ke tempat kejadian. Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika hujan lebat yang berterusan sejak jam 4 petang. Kesemua mangsa terperangkap kerana air naik secara mendadak ke kawasan alur air di dalam gua. 

"Kedalaman air lebih kurang 1.5 meter. Kesemua mangsa yang terlibat adalah kru penggambaran filem berjudul ‘Bursting Point’  dari sebuah syarikat antarabangsa dari Singapura yang sedang menjalankan kerja-kerja perfileman," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan