AM

MCMC Akan Dapatkan Maklumat PDRM Berhubung Kes Keganasan Remaja - Fahmi

07/03/2026 12:29 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta berhubung dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai penahanan enam remaja yang disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil  berkata langkah itu penting bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat isu melibatkan aplikasi tertentu supaya tindakan sewajarnya dapat diambil termasuk mendapatkan kerjasama penyedia perkhidmatan platform berkenaan.

“Perkara ini bagi saya agak merisaukan... antara hasil siasatan setakat ini menunjukkan ada dalam kalangan mereka menjadi berminat kepada gerakan ekstremis melalui permainan seperti Roblox dan juga kandungan yang mungkin ditonton sama ada di media sosial atau platform penstriman.

“Dalam masa terdekat, saya akan minta MCMC untuk berhubung dengan Bukit Aman bagi mendapat maklumat terperinci tentang langkah yang mungkin perlu kami bantu untuk pastikan sekiranya ada isu melibatkan aplikasi tertentu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar dan Sumbangan Aidilfitri Bersama Tenaga Nasional Bhd di sini malam ini.

 Beliau berkata maklumat itu akan membolehkan kementerian memanggil pengusaha atau penyedia perkhidmatan aplikasi terlibat untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis bagi membantu siasatan atau tindakan lanjut.

Terdahulu, PDRM melumpuhkan cubaan menghidupkan semula ideologi Daesh di Malaysia melalui penahanan enam remaja termasuk tiga di bawah umur dalam operasi yang dilaksanakan oleh Cawangan Khas selama dua hari bermula 14 Feb lepas di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata suspek yang berumur antara 16 hingga 21 tahun itu bukan sahaja telah berbai’ah kepada pemimpin kumpulan Daesh malah aktif memberi sokongan, merekrut ahli baharu dan memiliki bahan propaganda kumpulan pengganas tersebut.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan