Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Revenue Valley Sdn Bhd, syarikat induk bagi rantaian restoran termasuk Tony Roma’s, The Manhattan Fish Market (MFM), NY Steak Shack, Daporlah dan Nice Catch di Malaysia bercadang untuk membuka 10 cawangan pada tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Daniel Chan Lek Seong berkata, bagi Tony Roma’s yang akan menyambut ulang tahun ke-50nya di arena global pada tahun ini, syarikat itu menyasarkan untuk membuka dua atau tiga cawangan restoran berkenaan di Semenanjung, sejajar dengan peralihan ke fasa endemik di negara ini.
“Pandemik telah mendidik kita untuk berfikir dengan kaedah berbeza, berfikir di luar kotak. Hari ini kita mencatatkan prestasi yang lebih baik memandangkan kita banyak bergantung kepada pelanggan yang menjamu selera.
“Bagi kebanyakan penggiat makanan dan minuman (F&B), kami melihat inilah masanya untuk kami menetapkan semula, memberikan nafas baru terhadap jenama dan menambah baik perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya kepada Bernama sempena sambutan ulang tahun itu di cawangan Tony Roma’s di Pavilion Kuala Lumpur hari ini.
Tony Roma’s diasaskan oleh Tony Roma yang membuka restoran utamanya di Miami Utara, Florida di Amerika Syarikat pada 1972. Ia membuka cawangan francais pertama di negara ini pada 2006 dan mempunyai sembilan cawangan di seluruh Malaysia.
Bersempena ulang tahun itu, rantaian restoran stik antarabangsa itu memperkenalkan menu akhir tahun yang istimewa dan menjadi pilihan cef selebriti merangkap duta jenama itu Datuk Fazley Yaakob dengan kerjasama Coca-Cola.
Menu tulang rusuk yang menyelerakan dan digandingkan dengan cola akan dijual mulai 21 Nov 2022 hingga 2 Jan 2023.
Menu istimewa itu ialah “Cola Sauce Australian Beef Ribs,” “Oven Prepared Ribs,” “Onion Loaf With Cola Dip,” “Coca-Cola Float” dan “Frosted Coca-Cola.”
“Kami mahu pelanggan mempertimbangkan kami sebagai tempat untuk menjamu selera dan meraikan sesuatu,” kata Chan sambil memaklumkan akan meneruskan promosi dan menu istimewa di semua restoran dari masa ke masa untuk kekal relevan kepada pelanggan.
Mengenai cadangan pengembangan rantaian restoran tempatan lain, beliau berkata syarikat turut bercadang membuka tujuh atau lapan lagi cawangan MFM dan NY Steak Shack di seluruh negara yang akan turut melibatkan francais.
Beliau berkata pengembangan kedua-dua restoran itu dilaksanakan berikutan pertanyaan yang diterima ketika Francais Antarabangsa Malaysia 2022 (FIM2022) yang diadakan pada September lepas.
Sementara itu, berikutan kenaikan harga makanan, Chan berkata syarikat itu telah menaikkan beberapa harga produk secara minimum untuk menampung kos operasi, dan pada masa sama, akan terus meningkatkan pengurusan produktiviti dengan cara meminimumkan pembaziran dan beroperasi dengan lebih cekap.
Revenue Valley memiliki dan mengendalikan lebih 70 restoran di lapan negara iaitu Malaysia, Singapura Myanmar, Bangladesh, Maldives, Sri Lanka, Oman dan Emiriah Arab Bersatu.
Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas), syarikat ekuiti persendirian berkaitan kerajaan memegang 85.8 peratus kepentingan dalam syarikat itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial