AM

Pemberian Kewarganegaraan Kepada Tujuh Pemain Warisan Dibuat Mengikut Lunas Undang-undang

30/09/2025 03:32 PM

PUTRAJAYA, 30 Sept (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa proses pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain warisan telah dilaksana mengikut lunas undang-undang.

Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata semua pihak tidak perlu bimbang kerana setiap proses yang dilaksanakan oleh KDN dilakukan secara tertib dan teliti oleh pihak berwajib selaras dengan ketetapan di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan. 

“Kalau ditanya, nak keluh-kesah apa kalau kamu (Persatuan Bolasepak Malaysia) buat benda yang betul. 

“Ya, apa ukuran benda betul? Ikut Perlembagaan Persekutuan, ikut akta atau undang-undang yang ada dan ikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika berucap di perhimpunan bulanan KDN di sini hari ini.

Beliau berkata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Badrul Hisham Alias juga telah meneliti setiap proses dalam pemberian kewarganegaraan kepada pemain terbabit.

“Semua ikut tertib, kita jelaskan begitu melainkan kalau kita langgar semua itu, akta tolak ke tepi dan Perlembagaan tolak ke tepi... kita main rempuh.

“Jadi, (sudah tentu) ada sebab untuk susah hati, (cuba) menyembunyikan suatu yang tak (ada) atau mengadakan benda yang tak ada,” katanya.

Sebelum ini, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA kerana didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

Menurut kenyataan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), FAM didapati menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.

Pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Sehubungan itu, FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan