Oleh Siti Radziah Hamzah
SERI KEMBANGAN, 13 Okt (Bernama) -- Wilo Malaysia Sdn Bhd, unit Malaysia bagi pembuat pam dari Jerman, Wilo Group, menyasar untuk meningkatkan sumbangan jualan daripada pasaran eksport kepada 40 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang, kata Pengarah Urusan, Vignesh Nathan.
Beliau berkata Malaysia kini merupakan pasaran terbesar syarikat itu di Asia Tenggara, dengan menyumbang 70 peratus kepada jualan, manakala baki 30 peratus lagi disumbangkan oleh pasaran eksport.
“Kami mengeksport ke Australia, New Zealand serta pasaran Asia Tenggara," katanya kepada Bernama selepas pelancaran kilang pemasangan Wilo Malaysia di Kawasan Perindustrian Balakong di sini, pada Khamis.
Hadir sama pada majlis itu ialah Duta Besar Jerman di Malaysia, Dr Peter Blomeyer.
Vignesh berkata pejabat di Malaysia telah ditubuhkan lebih awal pada 2011 untuk menyediakan sokongan dan latihan perdagangan serta perkhidmatan pelanggan melalui pengedarnya.
Beliau berkata selepas menyaksikan potensi dalam pasaran Asia Tenggara susulan jumlah penduduk yang besar dan kepentingan strategiknya, Wilo Group melabur di negara ini menerusi kilang pemasangan.
“Kami melihatnya sebagai langkah strategik untuk syarikat,” katanya.
Beliau berkata pemasangan set pam dan sistem air dengan pelbagai penyelesaian perkhidmatan yang menyokong dan menggerakkan air secara pintar dan cekap merentas segmen pasaran iaitu perkhidmatan bangunan, pengurusan air dan perindustrian.
Sementara itu, beliau berkata ketidaktentuan semasa ringgit memberi sedikit impak kepada syarikat kerana sebahagian besar produk diedarkan dalam pasaran Malaysia manakala kebanyakan produk serta komponen dikeluarkan di peringkat tempatan.
“Pam kami diimport dari Jerman, India dan China namun kebanyakan bekalan dan aksesori tambahan adalah dari sumber tempatan,” ," katanya.
Dalam kenyataan, Naib Presiden Kanan Jualan Wilayah Pasaran Pesat Membangun, Wilo Group, Jens Dallendorfer berkata pelan perniagaan Wilo Group akan menyaksikan penyetempatan tiga hingga enam produk utama dikeluarkan di Malaysia dalam jangka pendek.
“Bagi jangka panjang, kami akan menyaksikan kilang pemasangan ini ditempatkan dalam kemudahan pembuatan berskala penuh dan pintar, seperti kilang kami di Dortmund, Jerman serta di China, Korea Selatan dan India,” katanya.
Wilo Group merupakan antara penyedia pam dan sistem pam terkemuka dunia untuk perkhidmatan bangunan, pengurusan air dan sektor perindustrian.
Kilang pemasangan seluas 680 meter persegi di Malaysia itu adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara di bawah Wilo Group.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial